‘Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada’

‘Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada’

TEO Nie Ching (tengah) menyampaikan kit Kempen Internet Selamat kepada pengunjung di Bazar Ramadan Temenggong, Kulai, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pakatan Harapan (PH) Johor berharap pembahagian kerusi membabitkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat dimuktamadkan dalam kadar segera.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata, Jawatankuasa Agihan Kerusi yang ditubuhkan baru-baru ini juga memainkan peranan penting bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Katanya, wakil bagi setiap parti akan berada di dalam jawatankuasa tersebut bagi membincangkan soal pembahagian kerusi membabitkan ketiga-tiga parti secara mendalam.

“Kami akan menghormati prosedur yang ditetapkan itu dan akan berunding secara berhemah antara satu sama lain.

“Saya harap pembahagian kerusi ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin supaya ia dapat memberi ruang kepada setiap parti untuk membuat persediaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong, di sini semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mengumumkan parti itu telah mengenal pasti 20 kerusi yang mahu ditandingi.

Khamis lalu pula, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor yang berkemungkinan diadakan pada tahun ini.

Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, DAP juga sudah mengenal pasti kerusi-kerusi yang mahu ditandingi termasuk kerusi yang ditandingi pada PRN Johor yang lalu.

Ahli Parlimen Kulai itu akui ada berlaku perebutan kerusi dalam perbincangan yang dilakukan antara parti dalam gabungan PH itu, namun ia bukanlah satu yang membimbangkan.

“Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada… Itu tak mengapa, kita akan lalui prosedur yang digariskan bagi mencari titik persefahaman,” ujarnya.

Sebelum ini, Aminolhuda menyatakan pembahagian kerusi hanya membabitkan tiga parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×