SEREMBAN: Kerajaan telah bersiap sedia dengan pelan untuk mengeluarkan lebih 31,000 rakyat Malaysia yang tinggal di negara-negara yang terletak berhampiran Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelan evakuasi itu telah mendapat kelulusan secara dasar daripada kabinet dan dan akan dilaksanakan jika perang di Asia Barat bertambah buruk.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini situasi belum mendesak untuk pelan itu dilaksanakan selain usaha membawa jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi.
“Setakat ini, Iran tidak menyerang sasaran awam. Kita memantau setiap jam dan membuat analisis setiap situasi tersebut serta membuat keputusan setiap hari.
“Jadi tidak perlu terlalu risau kerana jika ada keperluan mendesak kita akan laksanakan pelan evakuasi yang telah diluluskan kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO)/Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sembilan (Pekerti) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pengerusi NCWO Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Sehingga kini, lebih 31,000 rakyat Malaysia di Arab Saudi, Qatar, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman telah berdaftar dengan kedutaan di negara berkenaan.
Mohamad memberitahu, tumpuan kini adalah untuk membawa balik mereka yang terkandas di lapangan terbang serta 2,367 jemaah umrah.
Tegasnya, kerajaan menguruskan situasi itu dengan baik dan tidak timbul isu lambat bertindak seperti yang didakwa pihak tertentu.
“Kementerian Luar memantau situasi di kawasan konflik setiap jam melalui bilik operasi di Wisma Putra yang dibuka dan diuruskan secara 24 jam selain kedutaan di negara yang terlibat dibuka untuk memastikan tindakan diambil dengan segera apabila situasi memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, kerajaan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan rancangan untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah walaupun syarikat penerbangan telah beroperasi semula di Arab Saudi.
Jelasnya, operasi penerbangan di Arab Saudi lebih tertumpu kepada membawa keluar warga asing yang ramai di negara berkenaan. – UTUSAN










