JERANTUT: Taman Negara Kuala Tahan di sini turut menerima tempias perang antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran apabila mula kurang dikunjungi pelancong ‘Mat Saleh’ sejak lima hari lalu.
Penolong Pengurus Tekoma Resort, Sabri Abdullah, 57, berkata, kelibat pelancong asing kelihatan semakin berkurangan berbanding sebelum ini yang boleh dikatakan keseluruhan pusat inap dan resort dipenuhi mereka.
“Dalam seminggu ini, cuma antara 20 hingga 30 pelancong dari Eropah dan negara Scandinavian singgah di sini berbanding sebelum ini mencapai kehadiran lebih 100 orang seminggu.
“Kemungkinan pelancong berkenaan sudah berada di negara ini sebelum bermula konflik AS – Iran dan mereka berkunjung ke Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Cameron Highlands, Pulau Tioman, Pulau Perhentian (Terengganu) terlebih dahulu dan singgah di Taman Negara sebagai destinasi terakhir sebelum pulang ke negara masing-masing.
“Sejak bulan lalu, resort ini menerima banyak tempahan pelancong dari negara Poland, Perancis, Belanda dan negara Scandinavian tetapi telah membatalkan lawatan apabila perang meletus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Sabri, difahamkan ada pelancong Mat Saleh yang sudah dalam perjalanan ke sini, tetapi terkandas di Dubai, Arab Saudi dan beberapa tempat lain apabila berlaku sengketa antara dua negara tersebut.
Katanya, Taman Negara sebagai sebuah pusat ekopelancongan kerap menerima kehadiran pengunjung dari negara Eropah yang merupakan penyumbang 65 peratus keseluruhan jumlah pelancong.
Sementara itu, Pengusaha syarikat pelancongan, Agent Nature 2 Venture Kuala Tahan, Mohammad Amirul Ramli, 30, berkata, perang AS-Iran memberi kesan signifikan terhadap sektor ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu di pesisir Sungai Tembeling, kawasan Ulu Tembeling.
“Sejak perang meletus, kita sudah menjangkakan kekurangan pelancong luar ke Taman Negara dan menimbulkan sedikit kebimbangan mengenai kekurangan pendapatan kalangan penggiat ekopelancongan di sini,” katanya. – UTUSAN











