KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui ada bertemu bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada tahun lalu.
Presiden UMNO itu berkata, perjumpaan tersebut sudah lama diadakan bukan dalam masa terdekat ini.
“Baru-baru ini tak ada, tapi lama dulu ada. Pada tahun lepas,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita sebaik selesai Sesi Pertemuan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Menara Felda, di sini semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak berkongsikan intipati perbincangan dan lokasi ia diadakan.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa terdapat pertemuan ‘sulit’ antara Hamzah dan Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’ antara punca Ahli Parlimen Larut itu dipecat oleh parti Januari lalu.
Bagaimanapun, Hamzah menafikan tindakannya bertemu dengan pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengkhianati parti kerana ia bukannya sau kesalahan.
“Kalau saya jumpa Perdana Menteri (PM), apakah saya jadi pengkhianat? Jumpa PM bukan satu kesalahan. Saya hanya mahu meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara serta memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuhkan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO sudah mempunyai senarai bekas-bekas ahlinya yang memohon untuk kembali ke pangkuan parti, namun enggan mendedahkannya buat masa ini.
“Senarai tidak perlulah dikongsikan, nanti tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Beliau berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO. – UTUSAN










