Tiga individu kes tembak Klang ada pelbagai rekod jenayah

Tiga individu kes tembak Klang ada pelbagai rekod jenayah

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu yang terlibat dalam insiden tembakan dan langgar di Jalan Keretapi Lama, Tok Muda, Kapar, Klang pagi tadi mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh dan cubaan bunuh selain dikehendaki pihak polis. 

Kejadian kira-kira pukul 9.51 pagi itu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pembonceng motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kedua-dua mangsa dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja kepada suspek di Kampung Perepat.

“Suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda kemudian bertindak mengejar motosikal terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama sebelum melanggar motosikal itu selepas salah seorang mangsa mengacukan objek menyerupai pistol.

“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar.

“Semakan rekod mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, mangsa yang cedera pula mempunyai 10 rekod jenayah serta berstatus orang dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×