MUAR: Seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut setelah kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Jalan Rencong, Lenga, di sini hari ini.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 8.42 pagi itu mengorbankan penunggang, Norman Ahmad, 47, dan pembonceng iaitu bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dari arah ke Lenga telah masuk ke laluan bertentangan.
“Kejadian tersebut berlaku di selekoh sebelum pacuan empat roda tersebut bertembung dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
“Pemeriksaan lanjut ke atas pemandu pacuan empat roda tersebut menjumpai bahan disyaki dadah iaitu 20 biji pil eramin 5 seberat 5.15 gram dan syabu seberat 0.39 gram.
“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu positif dadah jenis methamphetamine. Suspek ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) A dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN









