KDN mahu semua agensi, jabatannya percepat teknologi AI dalam pentadbiran

KDN mahu semua agensi, jabatannya percepat teknologi AI dalam pentadbiran

SAIFUDDIN Nasution Ismail melancarkan Buku Strategik Pencegahan Rasuah Jabatan Imigresen Malaysia sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mempercepat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, teknologi AI kini menjadi medium penting kerajaan dalam memperkemas kecekapan pentadbiran.

Beliau berkata, kementerian melihat peranan besar dimainkan teknologi itu khususnya dalam mempercepat proses kerja dan membantu menyediakan penulisan atau menganalisis maklumat dengan pantas.

“Teknologi AI generatif kini semakin mendapat perhatian dunia namun, ia masih berada pada peringkat awal perkembangan.

“AI generatif ini sebenarnya masih baharu sekitar dua hingga tiga tahun sahaja berkembang secara pesat. Jadi kita masih belum terlalu jauh ketinggalan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Katanya, penggunaan AI kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan baharu dalam pentadbiran moden.

Saifuddin berkata, KDN sendiri telah memulakan langkah awal menerusi inisiatif “AI for KDN, KDN for AI” sejak dua tahun lalu.

Beliau menggesa supaya latihan berkaitan teknologi tersebut dipertingkatkan termasuk menghantar pegawai mengikuti kursus di universiti tempatan bagi memperkukuh kefahaman terhadap asas serta potensi AI.

“Beberapa agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mula memanfaatkan teknologi itu dalam operasi harian mereka.

“Antaranya, sistem pengecaman wajah yang membolehkan proses pergerakan di pintu masuk negara dipermudah tanpa memerlukan cop pasport secara manual.

“Jika teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya, hasil kerja akan menjadi lebih cepat, produktiviti meningkat dan sistem penyampaian kepada rakyat akan menjadi lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×