Dakwaan jatuhkan kerajaan: Seorang telah dirakam keterangan, tiga atau empat lagi akan dipanggil - KPN

Dakwaan jatuhkan kerajaan: Seorang telah dirakam keterangan, tiga atau empat lagi akan dipanggil – KPN

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakamkan kenyataan seorang individu yang dikaitkan dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, individu rakyat tempatan itu telah hadir sukarela bagi memberi kenyataan kepada polis pada 26 Februari lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu dirakam pada hari sama laporan dibuat terhadap individu itu susulan dakwaan berkenaan.

“Kami juga telah mendapat beberapa nama individu lain untuk dipanggil memberi kenyataan yang sama.

“Kami akan memanggil tiga atau empat lagi individu untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, hari ini.

Kata Mohd Khalid, pihaknya memerlukan masa lebih panjang untuk meneliti kenyataan dibuat individu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga belum pasti sama ada memanggil balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid atau tidak untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya boleh sahkan bahawa semua individu yang telah dikenalpasti dan akan dipanggil kesemuanya adalah warga tempatan.

“Kerajaan memerlukan satu tindakan yang menyeluruh mengenai dakwaan ini dan kita kena kenal pasti isu-isu yang berkaitan.

“Ia bukan sahaja terlibat (dengan pihak) dalam negara tetapi juga di luar negara. Jadi ia memerlukan siasatan yang menyeluruh dan berhati-hati.

“Saya percaya kita perlu bersabar dalam memastikan perkara ini dapat kita selesaikan dengan baik tanpa merosakkan apa-apa juga isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara ini perlu ditangani dengan teliti bagi mengelak timbul kesangsian dalam kalangan rakyat selain menjamin keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang turut membabitkan kelompok Zionis terkemuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×