KUALA LUMPUR: Siasatan besar-besaran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendorong gerakan kumpulan yang didukung warga tempatan untuk menjatuhkan kerajaan termasuk menggunakan pengaruh luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati usaha kumpulan yang berpangkalan di luar negara itu sudah bermula dari Ogos 2024 dan berakhir pada pilihan raya umum (PRU) kelak.
Menurut beliau, kumpulan tersebut mempunyai dana yang besar dengan strategi diatur untuk merancang kegiatan bagi mempertikai kerajaan sedia ada dan usaha dijalankan.
Anwar bagaimanapun tidak mahu mendedahkan nama dan tempat kumpulan itu kerana siasatan masih berada di peringkat awal.
Namun katanya, terdapat enam kali perjumpaan direkodkan antara syarikat, badan-badan serta tokoh-tokoh berkenaan dalam kumpulan itu.
“Dari Ogos (2024), ditekankan strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui international round table, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta akan menggunakan international push kemudian brief Bloomberg bagi tindakan selanjutnya.
“Tapi yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM yang berskala besar, itu yang menyebabkan mereka terpanggil untuk bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara.
“Strategi mereka (adalah) menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan khususnya SPRM, kemudian menggunakan kekuatan dan contact dengan negara luar (bagi) memberi naratif mempertikai kewibawaan Malaysia serta kerajaan dan mengatur gerak melalui Parlimen, ini yang membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai hal tersebut semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini semalam.
Anwar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124 (b) Kanun Keseksaan (KK).
“Jadi terperinci berkenaan jumlah saksi dan sebagainya itu, saya serah kepada polis tetapi yang saya nak tekankan di sini, PR (pegawai perhubungan awam) syarikat berkenaan akan menggunakan supaya boleh newspaper journalist, publish article analysis untuk mempertikai langkah-langkah diambil kerajaan.
“Ketiga, menetapkan dan mempengaruhi questions to be raise in Parlimen tentang isu ini, berikutnya mempengaruhi melalui hubungan dengan menulis right to bankers, setting out their strategies. Bermakna ada sampaikan pengaruh melalui pegawai bank,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kumpulan yang cuba mensabotaj kerajaan itu juga akan memuji tokoh-tokoh tertentu menerusi rangkaian media antarabangsa yang berada di dalam siasatan SPRM.
Tambahnya, walaupun perkara itu tidak boleh dipandang serius tetapi kesiapsiagaan dan kewaspadaan diperlukan untuk memastikan keadaan terkawal.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM sedang menyiasat seorang individu berpengaruh tempatan bersama sebuah agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan.
Sementara itu, Perdana Menteri mendedahkan, kumpulan yang mahu menjatuh dan mensabotaj kerajaan itu turut mendapat sokongan kelompok Zionis terkemuka.
Sehubungan itu tegas Perdana Menteri, adalah tidak wajar tindakan kumpulan tersebut disokong kerana jelas memberi kesan buruk kepada negara.
“Saya tidak fikir semua ahli-ahli pembangkang akan merestui walaupun ini mungkin akan memberi manfaat kepada mereka untuk bersekongkol dengan usaha yang sedemikian.
“Dan kalau esok tahu, orang yang dipertahankan Arau itu, dia antara kelompok Zionis terkemuka. Ia digunakan dalam projek ini dan sabar, entah seminggu ke dua minggu, apabila keadaan ini terbongkar, boleh diceritakan.
“Apa kita hendak pilih untuk pertahankan? Tidak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita, selain daripada merujuk kepada tokoh Zionis, ia memang jelas menentang Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza,” katanya. – UTUSAN










