PETALING JAYA: IJM Land Berhad (IJM Land) mengukuhkan komitmennya di Seremban 2 dengan mengumumkan pelaburan RM10 juta bagi pelancaran Galeri S2 Heights Aman, yang berperanan sebagai medium memperlihatkan hala tuju pembangunan kawasan itu secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, melalui pelan induk terperinci, pengunjung dapat menelusuri visi S2 Heights Aman dan memahami bagaimana kawasan tersebut dirancang untuk berkembang secara progresif dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Menurutnya, galeri itu direka sebagai hab maklumat dan gaya hidup, mengetengahkan pendekatan pembangunan yang mengutamakan kualiti kehidupan, ruang komuniti dan kesejahteraan jangka panjang.
“Galeri ini bukan hanya mempamerkan projek, tetapi memperlihatkan falsafah di sebalik setiap perancangan, daripada seni taman dan infrastruktur hingga kepada ritma kehidupan seharian yang lebih seimbang dan harmoni.
“S2 Heights Aman mencerminkan tafsiran kami terhadap masa depan kehidupan perbandaran.
“Berpaksikan legasi Seremban 2, pembangunan ini memberi penekanan kepada penciptaan persekitaran yang selesa didiami serta mampu memupuk rasa kebersamaan merentas generasi.
“Melalui galeri ini, pengunjung dapat merasai sendiri skala perancangan dan memahami konsep kehidupan ‘Aman’ sejak dari awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, terletak di atas tapak seluas 1.74 hektar, Galeri S2 Heights Aman direka sebagai titik ketibaan utama yang ikonik ke perbandaran ini.
Ia turut mengintegrasikan ruang galeri, kafe, ruang acara fleksibel serta kemudahan parkir yang mencukupi, sekali gus menyokong interaksi komuniti dan menjadikan kawasan ini sebagai destinasi gaya hidup yang terbuka kepada orang ramai.
Dalam perkembangan lain, IJM turut mencapai satu pencapaian penting dengan bermulanya Pemilikan Kosong (VP) bagi Sutera Fasa 1 di S2 Heights Aman.]
Fasa pertama itu menandakan pencapaian kediaman pertama dalam pelan induk seluas 161.874 hektar, yang menekankan kehijauan, ruang terbuka dan pembangunan komuniti berteraskan gaya hidup mampan.
Beliau berkata, projek itu dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM269 juta, merangkumi 204 unit rumah pegangan bebas dua tingkat jenis pautan, disiapkan pada Januari 2026 mengikut jadual pembangunan.
“Penyempurnaan fasa ini bukan sekadar penyerahan fizikal, tetapi mencerminkan persekitaran hidup yang dirancang untuk menawarkan suasana tenang, selesa dan menyegarkan kepada penduduk.
“Sutera turut dianugerahkan Pensijilan GreenRE Provisional tahap Gangsa di bawah kategori Kediaman, sekaligus memperkukuh komitmen IJM Land terhadap kualiti pembinaan dan pembangunan mampan.
“Ia terletak dalam landskap berbukit S2 Heights Aman serta berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa, dan diinspirasikan daripada ketenangan Karuizawa, bandar peranginan gunung di Nagano, Jepun,” ujarnya.
Tambahnya, meneruskan momentum fasa pertama, Sutera Fasa 2 kini dibuka untuk jualan dengan GDV RM92.87 juta, merangkumi 104 unit rumah pautan dua tingkat dengan keluasan binaan bermula dari 1,949 kaki persegi.
Fasa itu menawarkan peluang kepada pembeli untuk menjadi sebahagian daripada kejiranan yang sedang berkembang dengan infrastruktur sedia ada dan landskap yang semakin matang. – UTUSAN










