GEORGE TOWN: Lapan wanita berdepan detik mencemaskan apabila sebuah rumah tiga tingkat yang dijadikan inap desa terbakar dalam kejadian di Solok Sungai Emas, Batu Ferringhi awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.46 pagi itu, semua mangsa yang menyewa di inap desa berkenaan bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, kebakaran melibatkan bahagian ruang tamu rumah berkeluasan 25×60 kaki persegi itu dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus.
“Seorang daripada mangsa berusia 31 tahun patah kaki kanan manakala tujuh lagi mangsa berusia antara 31 hingga 32 tahun mengalami sesak nafas serta kecederaan ringan semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi melibatkan 15 anggota bersama dua jentera tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.26 pagi.
Katanya, kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan bomba turut memohon bantuan Unit Forensik Kebakaran untuk siasatan lanjut mengenal pasti punca sebenar kejadian. – UTUSAN











