Iftar, sahur menu Melayu rare di TGSK

Iftar, sahur menu Melayu rare di TGSK

PELBAGAI pilihan lauk-pauk Melayu tradisional untuk berbuka puasa disediakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAKUT tengok harga bufet Ramadan di hotel lima dan enam bintang yang mencecah tiga angka hingga sampai RM300 sekepala. Kalau datang seorang masih okey lagi. Bayangkan kalau datang satu keluarga lima orang? Boleh cecah ribu ringgit!

Itu pun tidak semua makanan yang kita letak dalam pinggan mampu dihabiskan. Sudahnya masuk tong sampah kerana perut penuh, buang macam itu sahaja.

Namun, berbeza kalau berbuka puasa di TGSK Kuala Lumpur berkonsepkan ‘bayar apa yang anda makan.’ Boleh jamu selera ikut kemampuan tekak dan poket kita.

TGSK sememangnya lokasi popular untuk sarapan terutama dalam kalangan penduduk Lembah Klang sekitar Ampang, Wangsa Maju dan Hulu Kelang sejak enam tahun lalu. Terdapat 40 jenis menu disediakan dan pilihan pelbagai inilah yang membuatkan ramai ke situ.

Setiap kali saya bersarapan di situ, boleh lihat pelanggan sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk menempah makanan dan minuman. Nasi dagang dan nasi kerabu antara yang pelanggan tetap cari-cari.

Apa yang menarik sepanjang Ramadan, menu yang sama pada hari-hari biasa tetap disediakan di TGSK sehingga 18 Mac ini. Namun, ada istimewa sikit iaitu hidangan nasi putih dengan lauk-pauk Melayu tradisional berbuka puasa.

Antaranya, masak asam pedas, daging lemak salai cili api, sayur pucuk ubi, singgang tetel, singgang gear box, ulam-ulaman dan sambal kerabu. Kesemua itu disediakan dan dimasak sendiri oleh pemilik TGSK, Nurul Amiera Zailan.

Rasanya gerenti sedap sebab sudah dapat ‘kelulusan’ ibunya dari Terengganu yang memang pandai memasak dan suka menjamu orang makan hingga digelar ‘tangan lebar’.

“Sebelum memperkenalkan mana-mana menu, emak akan datang dua bulan sebelum untuk latih saya dan pastikan rasanya macam yang dia mahu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Anak-anak saya pun mengakui menikmati nasi campur di situ rasa seperti makan di rumah sendiri. Kata mereka, sedap macam ibu mereka atau isteri saya yang masak. Selain itu, mereka juga sukakan suasana tenang dan selesa.

Kuih-muih pula ada jenis tradisional rare (jarang ditemukan) yang mungkin sesetengah orang belum pernah jumpa atau menjamahnya macam saya sendiri. Sekaya labu, tok aji serban, sagupal, ketupat sotong yang semua itu popular di Pantai Timur tidak pernah saya kenal sebelum ini ada di TGSK.

Untuk minuman, ada tiga jenis air balang yang menyegarkan dan mampu menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa disediakan. Setiap hari bertukar jenis minuman.

Pada hari saya datang berbuka, ada air jagung, blue lemonade dan Ribena. Paling menarik, air ini boleh diisi semula secara percuma.

Harga pun sangat berpatutan. Kami berlima makan siap dengan kuih-muih dan pemanis mulut pun tidak sampai RM100.

TGSK KUALA LUMPUR
Lokasi:
Lot 841, Jalan Hillview, Hulu Kelang, 68000 Ampang, Selangor.
Waktu operasi:
5.30 petang hingga 3.30 pagi setiap hari.

Bukan sekadar menjamu selera, TGSK turut berperanan sebagai pusat sehenti untuk Ramadan dan menjelang tiba Hari Raya Aidilfitri. Terdapat bazar Ramadan mini terdiri daripada gerai-gerai menjual pelbagai hidangan untuk dibawa pulang. Juga ada jualan baju raya termasuk telekung oleh pengusaha kecil-kecilan.

Suami Nurul Amiera, Tuan Swaifulddin Tuan Mustapa pula memberitahu, tujuan dia dan isterinya menyediakan menu istimewa dan pelbagai kemudahan untuk pelanggan adalah bagi memeriahkan tempat tersebut seperti suasana hujung minggu.

“Yang tidak sempat balik masak lepas kerja, boleh bungkus seawal 4.30 petang atau buka puasa di sini. Yang balik dari tarawih kalau penat boleh singgah moreh,” katanya.

Dalam pada itu, ramai pelanggan bahkan saya sendiri pun tertanya-tanya apa maksud TGSK. Rupa-rupanya Tempe Goreng Sambal Kicap, iaitu nama gerai pertama dibuka Tuan Swaifulddin dan Nurul Amiera pada 2020. Gerai tersebut masih ada dan boleh dilihat hingga sekarang di TGSK.

“Asalnya kami jual tempe dan bergedel. Petang-petang jual. Pada mulanya malu juga niaga tepi jalan tapi dari situlah perjalanan kami (TGSK) bermula sehingga apa yang ada sekarang,” ujar mereka.
TGSK mampu memuatkan kira-kira 400 pelanggan dalam satu-satu masa.
Tempat letak kenderaan luas dan percuma, dipantau serta dikawal anggota-anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) turut disediakan. Selain itu, TGSK mudah diakses melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×