Kisah sedih Punch dibuang ibu raih perhatian dunia

Kisah sedih Punch dibuang ibu raih perhatian dunia

PUNCH sentiasa bergayut pada kaki penjaga zoo yang masuk ke dalam kandang untuk memberi monyet-monyet makan membuktikan kisah sedihnya yang dibuang ibunya meruntun hati warganet di seluruh dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAHIRKAN tanpa pelukan ibunya, seekor anak monyet di Jepun kini bergantung pada patung Orang Utan sebagai pengganti kasih sayang, kisah yang menyentuh hati jutaan warganet di seluruh dunia.

Punch, seekor monyet Japanese macaque berusia enam bulan yang dilahirkan di Ichikawa City Zoo, ditinggalkan ibunya sejurus dilahirkan.

Anak monyet itu dibesarkan dalam persekitaran buatan selepas dilahirkan pada Julai, dan mula menjalani latihan bulan lalu sebagai persediaan untuk kembali menyertai kumpulannya.

Tanpa belaian dan perlindungan ibu, penjaga zoo terpaksa mengambil alih tugas membesarkannya, memberi susu dan menjaganya siang dan malam.

Bagi mengisi kekosongan itu, Punch dihadiahkan patung Orang Utan oleh gergasi perabot dalaman Sweden, IKEA sebagai pengganti sang ibu.

Patung lembut itu segera menjadi tempatnya mencari ketenangan, dipeluk erat ketika tidur dan dibawa ke mana sahaja ketika ia bergerak di sekitar kandang yang dipenuhi ratusan monyet dewasa lain.

Menurut laporan The New York Times, Punch gemar bermain dengan patung itu, menjadikannya teman penghibur ketika dia tidak dapat berinteraksi dengan monyet lain.

Namun cabaran sebenar Punch bukan sekadar kehilangan ibu. Tanpa bimbingan awal dalam kumpulan sosialnya, dia bergelut untuk diterima oleh monyet lain di zoo itu.

Pada awalnya, haiwan kecil itu sering menyendiri sebelum perlahan-lahan cuba mendekati kumpulan lain. Walaupun ada detik ia diterima dan dibelai, namun kemudian Punch terus disisih dan dipinggirkan, termasuk interaksi agresif yang menimbulkan kebimbangan ramai.

Kisah Punch tular dan berjaya menarik ribuan pengunjung ke zoo berkenaan yang ingin melihat sendiri anak monyet comel itu.

Ramai yang teruja merakam kelibatnya mengheret patung mainan Orang Utan kesayangannya itu serta kemanjaannya ‘bergayut’ di kaki penjaga zoo setiap kali mereka masuk ke kandang untuk memberi makan.

Nasib malang Punch turut mencetuskan simpati dalam talian, sekali gus melahirkan kelompok peminat setia yang mula berkongsi perkembangan mengenainya dengan tanda pagar

#HangInTherePunch.

Pakar Kesejahteraan Primat Universiti John Moores Liverpool, Prof. Madya Dr. Emily Bethell menjelaskan, Punch kini berada di bawah pengawasan rapi penjaga zoo. Walaupun Punch dimarahi oleh monyet lain, ia tetap menunjukkan kekuatan mental dan daya tahan yang tinggi.

Sekiranya berdepan kecederaan fizikal, Punch mungkin terpaksa dipisahkan dari kumpulan besar monyet di kandang itu untuk keselamatannya.

Menurut Bethell, risiko terbesar Punch bukan serangan fizikal, tetapi kesan psikologi jangka panjang akibat pengasingan sosial.

“Selepas dibuang ibunya dan kumpulan sosial yang lebih luas, Punch terlepas peluang penting untuk mempelajari tingkah laku sosial yang sesuai, yang akan membantunya menavigasi hierarki sosial monyet macaque.

“Ini kerana pada usia enam bulan, monyet liar biasanya masih bergantung kepada ibu untuk keselesaan, pemakanan dan pembelajaran tingkah laku sosial,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, sebagai monyet jantan, Punch berkemungkinan mempunyai peluang kedua.

Beliau menjelaskan, Punch mungkin dipindahkan ke kumpulan baharu apabila lebih dewasa dan berpeluang membina hubungan sosial baharu.

Walaupun ramai peminat di media sosial menyeru agar Punch diasingkan dari kandang besar itu, Bethell menegaskan, terlalu banyak campur tangan manusia juga boleh menjejaskan perkembangan sosialnya.

“Monyet spesies Japanese macaque lazimnya menyaksikan jantan berpindah ke kumpulan baharu apabila matang, sekali gus membuka ruang untuknya membina hubungan sosial yang lebih stabil kelak.

“Apa yang penting sekarang haiwan itu diberi peluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya bagi mempelajari kemahiran sosial semulajadi spesiesnya.

“Jika dibesarkan kebanyakannya oleh penjaga dan interaksinya dengan manusia sahaja, Punch mungkin tidak akan belajar kemahiran yang diperlukan untuk menyertai kumpulan sosial sepenuhnya,” katanya.

Bethell menambah, walaupun Punch diminati ramai, hakikatnya monyet comel itu tetap seekor haiwan liar yang perlu membesar mengikut cara hidupnya sendiri dan tidak sesuai dijadikan binatang peliharaan.

“Semua primat adalah haiwan liar dan tidak sepatutnya dijadikan haiwan peliharaan. Gambar-gambar yang muncul dalam talian menunjukkan primat dijaga seperti haiwan peliharaan tidak

sepatutnya berlaku. Walaupun comel, haiwan liar ini akan mengalami tekanan psikologi dan dikhuatiri akan membesar menjadi dewasa yang tidak bersosial dan agresif,” katanya.

Sementara itu, Pakar Primatologi Universiti Durham, Prof. Jo Setchell menjelaskan, pengabaian ibu jarang berlaku pada monyet macaque, tetapi boleh terjadi apabila ibu masih muda dan kurang pengalaman.

Punch merupakan anak pertama ibunya, dan faktor tekanan serta cuaca panas ketika kelahirannya mungkin turut memainkan peranan.

“Punch adalah bayi pertama ibunya yang mungkin tidak mempunyai pengalaman mengurus bayi. Tambahan pula, keadaan cuaca yang panas ketika kelahiran juga mungkin menyumbang kepada pengabaian itu.

“Si ibu mungkin memfokuskan sumbernya kepada kelangsungan hidup diri sendiri dan kemungkinan anak pada masa depan, bukannya bayi yang dirasakan berisiko tidak dapat hidup dalam keadaan tersebut,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×