PN 2.0: Ujian kepimpinan dan naratif alternatif - Utusan Malaysia

PN 2.0: Ujian kepimpinan dan naratif alternatif

GAMBAR pertemuan Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) dengan Muhyiddin Yassin yang dikongsikan Ahli Parlimen Bachok Mohd. Syahir Che Sulaiman di akaun Facebook miliknya, Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) menandakan fasa penting dalam perkembangan gabungan itu. Dalam landskap politik pasca-PRU15 yang semakin menilai prestasi dan kestabilan, perubahan kepimpinan ini membuka ruang kepada penstrukturan semula naratif serta pendekatan strategik PN menjelang kitaran pilihan raya akan datang.

Dr. Samsuri hadir dengan latar teknokratik dan rekod pentadbiran negeri yang relatif stabil. Profil ini memberi kelebihan tersendiri kepada PN untuk beralih daripada politik mobilisasi emosi kepada politik kesiapsiagaan mentadbir. Jika sebelum ini PN banyak digerakkan oleh gelombang sentimen dan penentangan, PN 2.0 menuntut peralihan ke arah pembinaan kredibiliti institusi dan kejelasan dasar.

Secara struktural, PN masih berteraskan sokongan Melayu-Islam dengan kekuatan signifikan di Pantai Timur dan beberapa negeri utara Semenanjung. Keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan gabungan ini meraih lebih 70 kerusi Parlimen membuktikan wujudnya asas pengundi yang kukuh dan konsisten. Sokongan dalam kalangan pengundi muda Melayu dan masyarakat luar bandar turut memperkukuh kedudukannya sebagai blok politik utama.

Namun, kekuatan ini juga menzahirkan cabaran strategik. Realiti demografi Malaysia yang rencam serta peningkatan pengundi bandar dan kelas menengah menuntut pendekatan lebih inklusif. Segmen ini lazimnya menilai tawaran politik berdasarkan ekonomi, peluang pekerjaan, kestabilan fiskal dan tadbir urus. Justeru, PN perlu mengimbangi identiti terasnya dengan naratif lebih meluas tanpa menghakis sokongan tradisi.

Dalam konteks wacana nasional yang banyak menekankan reformasi institusi dan pengukuhan tadbir urus oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, PN 2.0 tidak lagi memadai sekadar menjadi suara oposisi. Ia mesti tampil sebagai alternatif pemerintahan yang setara daripada segi visi dan kompetensi. Politik semasa semakin menilai kemampuan menyelesaikan masalah kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan peluang mobiliti sosial, berbanding retorik.

Rekod pentadbiran Dr. Samsuri yang menekankan kestabilan fiskal, pembangunan infrastruktur dan pengurusan pelaburan boleh dijadikan asas pembinaan imej PN sebagai gabungan pragmatik. Pendekatan teknokratik ini berpotensi memposisikan PN sebagai pilihan yang menawarkan kecekapan pentadbiran, bukan hanya penentangan politik. Dalam era pengundi rasional, kredibiliti dasar menjadi modal politik yang penting.

Selain peluasan sokongan, PN turut berdepan cabaran memperkukuh kesepaduan dalaman. Sebagai gabungan parti, perbezaan pendekatan dalam isu pengagihan kerusi, agenda nasional dan kepimpinan negeri adalah lumrah. Kepimpinan Dr. Samsuri akan diuji dalam mengimbangi kepentingan parti komponen dengan matlamat kolektif gabungan. Kejayaan beliau bergantung kepada keupayaan menginstitusikan mekanisme rundingan yang tersusun dan berasaskan data, sekali gus mengelakkan percanggahan dalaman daripada melemahkan imej gabungan.

Dari sudut strategi masa depan, terdapat empat keutamaan yang wajar diberi perhatian. Pertama, pengukuhan naratif ekonomi rakyat dengan fokus kepada kos sara hidup, peluang pekerjaan dan jaringan keselamatan sosial. Isu-isu ini kekal menjadi kebimbangan utama pasca pandemik dan berpotensi menarik sokongan rentas generasi.

Kedua, pembangunan kepimpinan generasi muda berwibawa dan profesional, sejajar dengan pertambahan peranan pengundi belia dalam daftar pemilih. Ketiga, pemanfaatan teknologi serta analisis data bagi memahami pola sokongan dan kecenderungan pengundi secara lebih strategik.

Keempat, wajah sederhana peluasan sokongan merentas etnik dan wilayah. Walaupun dominasi di kawasan majoriti Melayu memberi kekuatan asas, realiti politik Malaysia yang bersifat rencam menuntut kemampuan menembusi kawasan bandar dan masyarakat berbilang etnik. Statistik demografi menunjukkan peningkatan peratusan pengundi bandar dan kelas menengah, yang lazimnya menilai aspek dasar ekonomi, peluang pekerjaan serta kestabilan dasar awam.

Justeru, cabaran strategik PN adalah mengimbangi identiti teras dengan naratif inklusif yang lebih meluas tanpa menjejaskan sokongan tradisi. Peralihan daripada politik mobilisasi kepada politik institusionalisasi menjadi syarat penting bagi kelestarian PN. Ini melibatkan pengukuhan struktur organisasi, penghasilan dokumen dasar komprehensif dan pembentukan pasukan kepimpinan yang mampu berfungsi sebagai pembuat dasar, bukan sekadar jentera kempen. Dalam kerangka ini, PN perlu menampilkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ dengan pelan hala tuju yang jelas untuk lima hingga 10 tahun akan datang.

Persoalan yang sering dibangkitkan adalah sama ada Dr. Samsuri memiliki faktor tarikan nasional untuk berdepan kepimpinan sedia ada. Namun dalam politik matang, karisma semata-mata bukan lagi penentu utama. Konsistensi, kejelasan visi dan keyakinan terhadap keupayaan mentadbir menjadi ukuran yang lebih signifikan.

Persoalan yang sering dibangkitkan adalah sama ada Dr. Samsuri memiliki faktor wow untuk berhadapan dengan kepemimpinan nasional sedia ada. Dalam era politik matang, wow factor tidak semestinya bersifat retorik atau karismatik. Ia boleh lahir daripada kredibiliti, konsistensi dan keyakinan terhadap keupayaan mentadbir.

Akhirnya, PN 2.0 merupakan ujian sama ada kepemimpinan teknokratik mampu mengangkat gabungan ini daripada retorik pembangkang kepada kredibiliti alternatif pemerintahan. Gabungan ini mempunyai asas sokongan yang kukuh dan potensi untuk berkembang. Namun masa depannya bergantung pada keupayaan mengimbangi idealisme gerakan dengan realiti pengurusan koalisi serta tuntutan pengundi yang semakin kritikal.

Dalam politik matang, kemenangan tidak lagi ditentukan oleh siapa paling lantang menentang, tetapi siapa paling meyakinkan untuk mentadbir. Di sinilah Dr. Samsuri akan benar-benar diuji; bukan sekadar sebagai simbol perubahan, tetapi sebagai arkitek kesiapsiagaan sebuah kerajaan menanti.

Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×