RAUB: Dua beradik yang terselamat daripada tragedi kebakaran meragut lima nyawa ahli keluarga mereka di Kampung Pamah Kulat di sini, dijadikan sebagai anak angkat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan menanggung keperluan pendidikan sehingga ke peringkat universiti.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika meninjau lokasi kejadian dan bertemu dengan dua beradik berkenaan di balai raya kampung itu, selepas solat Jumaat hari ini.
Katanya, keprihatinan Timbalan Perdana Menteri diharap memberi sinar baharu kepada masa depan dua beradik itu yang kini berdepan kehilangan besar dalam hidup mereka.
Dalam lawatan itu, Megat Zulkarnain meluangkan masa bertemu Ruby Adalia Balgies Mohd. Allawi, 19, dan adiknya Ahmad Balia Murqam, 15, yang berlangsung dalam suasana penuh emosi dengan beliau memberi kata-kata semangat serta menegaskan komitmen untuk meringankan beban mereka.
“Musibah ini bukan sahaja menguji keluarga mangsa, malah seluruh masyarakat. Kita berharap mereka terus kuat menghadapi dugaan ini dan kerajaan serta agensi berkaitan akan melihat keperluan bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 3.35 pagi semalam, mangsa yang terkorban ialah Mohd. Alawi Muhammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10, apabila rumah yang mereka duduki di Kampung Pamah Kulat dijilat api.
Ruby Adalia Balqies yang merupakan Kolej Matrikulasi Gambang dan Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, tidak berada di rumah ketika kejadian.
Dua anak yang terselamat kini dijaga oleh ibu saudara terdekat sementara menunggu bantuan dan sokongan lanjut daripada pihak berkaitan. – UTUSAN










