PETALING JAYA: Pusat Data Google di Elmina yang dijadual siap pada suku ketiga tahun ini dijangka menjana pulangan ekonomi berjumlah RM12.43 bilion dan mewujudkan lebih 26,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.
“Pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara. Ia selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan panggilan video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat sera pasukannya.
Beliau berkata, antara yang dibicarakan ialah perkembangan pelaburan 2 bilion dolar Amerika Syarikat (RM7.77 bilion) oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.
Katanya, beliau dimaklumkan pelaburan itu bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.
“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










