Pejuang berhasrat sertai PN - Utusan Malaysia

Pejuang berhasrat sertai PN

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menyertai Perikatan Nasional (PN) merupakan antara pilihan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan PN bagi mengukuhkan blok pembangkang.

Beliau berkata, perbincangan tersebut melibatkan hala tuju dalam menangani pelbagai isu serta bentuk kerjasama dalam menghadapi pilihan raya.

“Perbincangan masih di peringkat awal dan bersifat terbuka. Menyertai PN merupakan salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh Pejuang.

“Perbincangan berkenaan bentuk kerjasama masih berjalan dengan kepemimpinan PN yang baharu. Menyertai PN adalah salah satu opsyen untuk Pejuang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Mac 2023, Pejuang dilaporkan sudah menghantar surat permohonan untuk menyertai gabungan parti pembangkang itu.

Surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2023 dan turut diberikan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa permohonan Pejuang ditolak oleh Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 20 Mac 2023.

Mukhriz berkata, Pejuang mendukung sepenuhnya matlamat ‘Payung Besar Orang Melayu’ yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×