PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Bhd. mengekalkan sasaran pembukaan 155 cawangan baharu tahun ini, merangkumi 130 kedai Mr DIY dan 25 kedai di bawah jenama KKV, selain merancang mengubah suai lebih 100 kedai sedia ada.
Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang berkata, pengubahsuaian tersebut bertujuan untuk meningkatkan produktiviti jualan serta menarik lebih ramai pelanggan, selain pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
Katanya, sentimen pengguna dijangka bertambah baik pada 2026, memandangkan pertumbuhan gaji yang sihat, keadaan makroekonomi yang stabil dan sokongan fiskal yang berterusan.
“Ini sepatutnya mendorong perbelanjaan budi bicara yang lebih tinggi, yang mana MR DIY berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkannya, memandangkan pelbagai jenis produknya yang luas dan rangkaian kedai yang mantap di seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, peningkatan keuntungan kasar daripada ringgit yang kukuh mungkin akan dihadkan, memandangkan pihak pengurusan menyasarkan untuk menjadi lebih agresif dengan promosi harga bagi menarik minat pelanggan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Oleh itu, Wei Siang berkata, bank pelaburan mengekalkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sekitar satu peratus bagi tahun kewangan 2026.
Tambahnya, pembayaran dividen yang lumayan boleh diteruskan pada tahun kewangan 2026, memandangkan pihak pengurusan berusaha untuk mengekalkan struktur modal yang cekap dan meningkatkan pulangan ekuiti (ROE).
“Keputusan kewangan tahun kewangan 2025 adalah sejajar jangkaan apabila keuntungan bersih teras meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada RM636 juta, bersamaan 100 peratus daripada ramalan penganalisis dan jangkaan pasaran.
“Hasil tahunan pula berkembang tujuh peratus kepada sekitar RM5 bilion, didorong pembukaan 121 kedai bersih baharu, walaupun SSSG berada pada negatif dua peratus.
“Margin keuntungan kasar meningkat 0.6 mata peratusan kepada 47.3 peratus hasil kadar pertukaran asing yang memihak dan skala operasi lebih besar, sekali gus menyumbang peningkatan 10 peratus keuntungan kasar,” ujarnya.
Tambahnya, RHB Investment Bank percaya kenaikan harga saham MR DIY setakat tahun ini masih mempunyai ruang pertumbuhan, disokong kedudukan kukuh kumpulan untuk memanfaatkan pemulihan perbelanjaan pengguna, sentimen sektor yang positif serta strategi pengembangan rangkaian berterusan.
Bagaimanapun, antara risiko utama syarikat termasuklah kelewatan pelaksanaan pelan pengembangan, gangguan rantaian bekalan, persaingan sengit serta sentimen pengguna yang kekal lemah lebih lama daripada jangkaan. – UTUSAN










