Kontraktor berputih mata rugi RM1.2 juta belajar saham percuma

Kontraktor berputih mata rugi RM1.2 juta belajar saham percuma

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara terpedaya dengan tawaran kononnya belajar pelaburan saham secara percuma, seorang kontraktor kerugian RM1.2 juta dalam sindiket penipuan terancang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, lelaki berusia 60-an itu melayari media sosial Facebook pada 2 Oktober lalu dan berminat menyertai program pembelajaran pelaburan saham yang ditawarkan secara percuma.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp apabila menekan pautan yang tertera.

“Selepas beberapa sesi kelas pelaburan, guru dalam kumpulan WhatsApp itu memperkenalkan peluang pelaburan saham baharu dengan jaminan keuntungan dan pampasan sekiranya rugi.

“Mangsa yang berminat kemudian menerima panggilan WhatsApp daripada seorang wanita yang meminta dia memuat turun aplikasi untuk memulakan pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata, pada 27 November lalu mangsa memindahkan wang secara berperingkat ke enam akaun berasingan milik beberapa syarikat dan perniagaan.

“Pada Januari 2026, mangsa berminat untuk membuat pengeluaran sebanyak RM600,000 selepas aplikasi pelaburan memaparkan mangsa mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

“Mangsa diminta untuk membuat bayaran komisen 10 peratus terlebih dahulu dan selepas membuat bayaran itu, mangsa dimaklumkan bahawa wang pengeluarannya disekat oleh Bank Negara Malaysia dan perlu pula membayar cukai sebanyak RM168,000,” katanya.

Katanya, mangsa berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut kerana telah mengesyaki ditipu dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta.

Mangsa membuat laporan polis pada 13 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang telah menjadi mangsa dan baru melakukan transaksi ke akaun bank dikawal scammers, segera hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN