GOMBAK: Yayasan Kubra menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menyertai program gotong-royong membersihkan runtuhan binaan haram di tapak tanah miliknya di Rawang Perdana pada pukul 5 petang, hari ini.
Pelawaan itu dibuat susulan tindakan pembersihan binaan haram yang akan dilaksanakan selepas tamat tempoh masa diberikan kepada pihak penceroboh malam tadi.
Dalam satu kenyataan, pemegang amanah Yayasan Kubra berkata, pihaknya telah memenuhi janji kepada pihak berkuasa untuk mengosongkan binaan haram di atas tanah berkenaan dalam tempoh 14 hari selepas pertemuan dua hala dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
“Dalam pertemuan dua hala bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pihak bertanggungjawab diberi tempoh 14 hari bermula 11 Februari hingga 24 Februari 2026 untuk mengosongkan binaan haram di atas tanah berkenaan.
“Tempoh tersebut dilanjutkan daripada tujuh hari asal sebagai mengambil kira kerjasama penuh diberikan kepada pihak polis ketika pertemuan itu berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, sebuah struktur yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana dirobohkan dalam operasi yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, operasi tersebut dilaksanakan secara terkawal dengan pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan kekal aman dan tidak menimbulkan ketegangan.
Bagaimanapun, Yayasan Kubra kesal selepas didakwa pihak penceroboh memainkan naratif kononnya berlaku ugutan dan paksaan keluar oleh pihak berkuasa walaupun sedangkan persetujuan pengosongan telah dicapai.
“Persetujuan tersebut telah disahkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong, dalam ciapan Facebooknya bertarikh 11 Februari 2026.
“Sebarang tindakan pembersihan binaan haram selepas tempoh akhir malam ini akan dilaksanakan tanpa notis lanjut, manakala segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penceroboh.
“Tindakan tersebut penting bagi membolehkan tanah berkenaan dimanfaatkan untuk pembangunan rumah asnaf yang tertangguh hampir lapan tahun sejak 2018 akibat pencerobohan,” kongsi kenyataan itu.
Yayasan Kubra menekankan bahawa tiada hak bagi penceroboh ke atas tanah orang lain serta kemudaratan perlu dihapuskan demi melaksanakan amanah pembangunan yang tertangguh. – UTUSAN











