PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai organisasi yang mengurus dana awam dan sumbangan berterusan perlu memastikan sistem tadbir urus dalaman diperkasa bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan kuasa serta konflik kepentingan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, SPRM bukan sekadar badan penyiasatan, sebaliknya turut berperanan sebagai penggerak pendidikan dan pencegahan antirasuah yang komprehensif.
“Kelemahan sistem kawalan dalaman boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan sumber dana, termasuk risiko nepotisme atau konflik kepentingan dalam urusan perolehan dan pelaksanaan projek.
“Situasi ini berpotensi menjejaskan reputasi institusi serta menghakis keyakinan awam terhadap tahap keadilan dan ketelusan pengurusannya,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan delegasi MAPIM diketuai Presidennya, Mohd Azmi Abd Hamid di SPRM Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Pertemuan itu memperkukuh komitmen MAPIM terhadap integriti dan ketelusan bagi mendapatkan pandangan strategik serta khidmat nasihat berhubung tatakelola pengurusan dana sumbangan daripada SPRM.
“Pertemuan tersebut mencerminkan pendekatan proaktif MAPIM dalam memastikan sistem pengurusan kewangan dan perolehan organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik serta selari dengan prinsip tatakelola baik,” jelasnya.
Dalam pertemuan itu, SPRM Kuala Lumpur menggariskan keperluan pelaksanaan mekanisme kawalan dalaman yang mantap seperti prinsip semak dan imbang, pengasingan tugas serta keperluan kelulusan peringkat lembaga atau jawatankuasa yang bebas sebelum sesuatu keputusan kewangan dan perolehan dimuktamadkan.
“Pendekatan itu bertujuan menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah serta penyelewengan secara sistemik,”jelasnya.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya berhasrat untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan SPRM dalam memperluaskan kesedaran antirasuah dalam kalangan pengurusan serta warga kerja MAPIM.
katanya, MAPIM memperoleh sumber pendapatannya merangkumi pembiayaan, kempen sumbangan awam serta peruntukan daripada kerajaan, agensi, sektor korporat dan kerjasama dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Pengukuhan tatakelola pengurusan dana sumbangan adalah langkah penting bagi memastikan sistem dalaman diperkemas demi menjaga kepercayaan masyarakat serta memastikan setiap amanah yang diterima diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










