Keluarga Altantuya mohon kebenaran merayu

Keluarga Altantuya mohon kebenaran merayu

Altantuya Shaariibuu NOTA TERBITAN KOSMO 21 MEI 2018 ISNIN MUKA 2 Archived By RM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluarga Altantuya Shaariibuu memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti atas kematian model warga Mongolia itu pada 2006.

Bagi kes sivil, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa model itu, Shaariibuu Setev, permohonan tersebut difailkan ekoran terdapat beberapa persoalan undang-undang yang timbul daripada prosiding sivil yang difailkan berhubung kematian wanita berkenaan.

“Antara lain, persoalan tersebut merangkumi skop liabiliti vikarius (tanggungan) Kerajaan apabila tindakan ejen-ejen negara mengakibatkan pelucutan nyawa secara tidak sah, serta rangka kerja statutori yang mengawal selia pemberian ganti rugi dalam tuntutan sivil yang berpunca daripada pembunuhan tidak sah.

“Memandangkan (terdapat) kepentingan awam (dalam) isu-isu ini, adalah wajar agar ia kini dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan, yang berpeluang untuk memperjelaskan undang-undang dalam bidang penting ini,” ujar peguam itu dalam kenyataan terbabit.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengurusan kes bagi permohonan itu akan didengar oleh Timbalan Pendaftar, Wan Norazimin Kassin pada 19 Mac ini.

Pada 21 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda hanya perlu membayar RM1.38 juta kepada keluarga mendiang.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menyatakan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila menganugerahkan ganti rugi asal sebanyak RM5 juta yang diputuskan pada Di­sember 2022.

Panel terbabit memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dengan alasan mereka tidak menjalankan tugas rasmi pada masa pembunuhan berlaku pada 2006.

Pada 5 Februari lalu, Sangeet berkata, keluarga model itu telah memulangkan semula ganti rugi bernilai lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia dan Abdul Razak termasuk faedah yang sebelum ini diberikan kepada mereka, susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Ibu bapa Altantuya dan cucu mereka telah memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 atas dakwaan kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi.

Sekitar 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan oleh keluarga Altantuya dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak, dan kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama.

Kerajaan dan Abdul Razak kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan dengan kesalahan itu dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 namun dilepaskan dan dibebaskan pada 23 Ogos 2013 oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Namun pada 13 Januari 2015, hukuman mati itu dikembalikan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan meinda hukuman mati terhadap Azilah kepada hukuman penjara 40 tahu selepas membenarkan permohonan semakan oleh bekas anggota polis itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×