Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol elak rakyat terbeban

Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol elak rakyat terbeban

ALEXANDER Nanta Linggi ketika sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Pembinaan 2026 - 2030 (CAP30) di Banguna CIDB. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta syarikat konsesi menangguhkan penstrukturan semula kadar tol bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penangguhan itu bertujuan memastikan kadar tol yang dibayar pengguna ketika ini kekal dan tidak meningkat.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa rakyat yang masih berdepan tekanan kewangan.

“Tujuan utama kerajaan menangguhkan penstrukturan semula atau semakan kenaikan kadar tol adalah supaya kadar tol yang dibayar rakyat ketika ini tidak meningkat. 

“Kerajaan mengambil kira bahawa rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup. Oleh itu, buat masa ini kerajaan menangguhkan semakan kenaikan kadar tol tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Construction Action Plan 2026-2030 (CAP30) di CIDB 520 The MET Corporate Towers, hari ini.

Nanta Linggi berkata, sekiranya pelaksanaan dibuat mengikut perjanjian sedia ada dengan syarikat konsesi, kadar tol berkenaan berpotensi dinaikkan menerusi proses penstrukturan semula dan semakan.

Katanya, penangguhan itu bukan bermakna tol diberikan secara percuma, sebaliknya kerajaan perlu menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh pengguna. 

“Jika dibenarkan mengikut perjanjian, kadar tol tersebut sepatutnya telah melalui proses penstrukturan semula dan semakan ke atas, yang bermaksud kadar tol boleh meningkat.

“Walau bagaimanapun, kerajaan tetap bertanggungjawab. Apabila kadar tol tidak dinaikkan dan pengguna tidak dibebankan, maka kerajaanlah yang menanggung tanggungjawab tersebut,” katanya.

Berhubung tempoh penangguhan semakan kenaikan kadar tol, beliau berkata, sebarang keputusan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri kerana ia melibatkan dasar dan komitmen kerajaan yang perlu dibawa ke peringkat Kabinet.

“Perkara itu bukan soalan yang boleh saya jawab kerana ia perlu dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang akan membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya berkuat kuasa tahun lalu mengikut perjanjian konsesi asal.

Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×