PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan sebuah firma guaman dari United Kingdom, White & Case LLP untuk menangguhkan perbicaraan kes saman oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sementara menunggu pelupusan dua rayuan firma berkenaan.
Panel dua Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk P. Ravinthran dan Datuk Faizah Jamaludin serta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
1MDB telah memfailkan saman terhadap White & Case LLP atas dakwaan firma berkenaan telah secara tidak jujur membantu (dishonest assistance) dan berkonspirasi untuk merugikan 1MDB dengan menyediakan dokumen undang-undang untuk melesapkan dana 1MDB, termasuk transaksi dengan PetroSaudi.
Dua rayuan yang difailkan oleh firma guaman itu akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 20 Mei ini.
Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Ravinthran berkata, dakwaan bahawa firma guaman itu akan menanggung kos dan kesulitan yang besar sekiranya penangguhan tidak diberikan adalah sebahagian daripada proses litigasi.
Tambahnya, firma berkenaan boleh mendapat ganti rugi sewajarnya sekiranya berjaya dalam kes berkenaan.
“Permohonan penangguhan prosiding adalah seumpama suatu keputusan pengurusan kes. Pada pandangan kami, keputusan sedemikian tidak seharusnya diganggu dengan mudah kerana Mahkamah Tinggi perlu diberikan kebebasan untuk menguruskan kes perbicaraan melainkan terdapat alasan kukuh untuk campur tangan selanjutnya,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan firma guaman tersebut membayar kos guaman sebanyak RM30,000.
1MDB telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2024 dengan menuntut kerugian berjumlah AS$1.83 bilion dan AS$33 juta daripada White & Case serta Eksekutif syarikat penerokaan minyak PetroSaudi, Patrick Mahony.
1MDB mendakwa bahawa White & Case telah membantu PetroSaudi International Ltd melakukan penipuan dan berkomplot untuk memudaratkan 1MDB ketika bertindak sebagai peguamnya.
Dakwaan penipuan tersebut melibatkan dua urus niaga korporat semasa usaha sama tahun 2009 dengan PetroSaudi International Ltd. serta penstrukturan semula pegangan 1MDB dalam usaha sama tahun 2010, yang menurut 1MDB telah menyebabkannya kerugian.
Writ saman telah diserahkan di luar bidang kuasa ke atas White & Case di alamat masing-masing di United Kingdom, dan firma tersebut telah memohon untuk mengetepikan penyampaian di luar bidang kuasa itu. Firma berkenaan turut memohon suatu deklarasi bahawa mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu dengan menolak cabaran bidang kuasa oleh White & Case, dan menyatakan bahawa saksi-saksi yang akan dipanggil untuk perbicaraan berada di Malaysia.
Firma guaman tersebut kemudiannya merayu keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Firma berkenaan juga merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan supaya saman ini disatukan dengan satu lagi saman yang difailkan oleh 1MDB terhadap Deutsche Bank serta PetroSaudi International dan anak-anak syarikatnya.
Pada prosiding hari ini, peguam Ranjit Singh mewakili firma guaman tersebut manakala peguam Datuk Lim Chee Wee mewakili 1MDB. – UTUSAN










