KUALA TERENGGANU: Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2018 dan 2020.
“Suspek yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berasa pelik dengan tindakan SPRM yang menahan secara tiba-tiba seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu berkenaan.
Katanya, kes membabitkan Exco berlaku pada 2018 serta 2020 dan pernah senyap tanpa sebarang keputusan jelas, namun dibangkitkan kembali untuk pendakwaan pada waktu ini.
Justeru, beliau menegaskan Exco terbabit tidak perlu meletak jawatan kerana tugasnya tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa keadaan sekalipun.
“Pertamanya, kita menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Dalam negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang, prinsip yang mesti dijunjung ialah not guilty until proven guilty (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah). Seseorang itu, tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
“Namun begitu, kita tidak dapat menyembunyikan rasa pelik. Kes yang didakwa berlaku pada 2018 dan 2020 sebelum ini senyap tanpa sebarang keputusan yang jelas, tetapi tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan pada waktu ini.
“Jadi adakah selama enam tahun ini dari 2020 sehingga 2026, SPRM tidak mendapati sebarang perkembangan baharu dan tiba-tiba menjumpainya hari ini?” katanya dalam kenyataan.










