Hantar ke sekolah tahfiz, akademik tidak ketinggalan

Hantar ke sekolah tahfiz, akademik tidak ketinggalan

Mohd. Adzha Shuib mengajar salah seorang pelajarnya di Akademi Tahfiz As-Soff, Kampung Pendiat, di Parit Perak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGHAFAL al-Quran dapat membentuk akhlak mulia dan mampu meningkatkan keupayaan kognitif pelajar, sekali gus membantu mereka dalam bidang akademik.

Pengurus Akademi Tahfiz As-Soff, Kampung Pendiat, Bota Kanan di Parit, Perak, Mohd. Adzha Shuib, 60, berkata, hafazan al-Quran amat penting dalam mendidik sahsiah pelajar, terutama ketika isu sosial seperti buli dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan.

Menurutnya, al-Quran juga asas kepada pengajian ilmu agama lain dan proses menghafalnya dapat mengasah minda supaya lebih tajam serta fokus.

“Apabila pelajar menghafal al-Quran, otak mereka akan menjadi lebih fokus dan tajam. Secara tidak langsung, pembelajaran akademik juga menjadi lebih mudah.

“Menghafal al-Quran mempunyai keberkatan kerana ia adalah mukjizat. Allah memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan al-Quran dan Malaikat Jibrail kerana menyampaikannya. Untuk membina akhlak, asasnya bermula dengan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat segelintir ibu bapa yang kurang berminat menghantar anak ke sekolah tahfiz, sebaliknya hanya berbuat demikian apabila anak menghadapi masalah akademik.

Namun katanya, kelemahan dalam akademik bukan penghalang untuk menghafal al-Quran kerana setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri.

“Motto kami di sini adalah ‘hafal sampai ingat’. Kami menggunakan kaedah Hijazi dari Indonesia yang membantu pelajar menghafal dengan lebih berkesan sehingga benar-benar ingat keseluruhan al-Quran,” katanya.

Menurutnya, tempoh hafazan bergantung kepada kemampuan pelajar. Pelajar yang cerdas mampu menamatkan hafazan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, malah ada yang lebih awal daripada sasaran dua tahun yang ditetapkan pihak akademi.

“Walaupun ada pelajar yang agak lemah, kami tetap membimbing mereka sehingga berjaya,” katanya.

Selepas tamat hafazan, pelajar akan dihantar menyambung pengajian ke luar negara seperti Pattani, Thailand, Yaman dan Mesir selain institusi dalam negara.

Menyentuh kebimbangan ibu bapa mengenai masa depan pelajar tahfiz, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya menjadi isu.

“Ramai risau soal akademik. Namun pengalaman menunjukkan apabila pelajar mendalami al-Quran, akademik menjadi lebih mudah.

“Contohnya, anak saya belajar di Mesir hanya mengambil SPM selepas pulang ke tanah air, namun memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau berharap sekolah tahfiz turut diberi perhatian dan bantuan sewajarnya kerana institusi berkenaan berperanan melahirkan generasi berteraskan al-Quran.

“Individu yang menghafal al-Quran berpotensi menjadi pemimpin dan pekerja yang baik kerana al-Quran sentiasa berada dalam jiwa mereka,” katanya.

Selain pengajian agama, akademi berkenaan turut menawarkan aktiviti sunnah seperti berkuda dan memanah serta kemahiran hidup termasuk membaiki kenderaan, bertukang dan memasak bagi melahirkan pelajar yang berdikari.

Bercakap mengenai kedatangan Ramadan, Mohd. Adzha berkata, bulan tersebut adalah bulan tarbiah dan penuh keberkatan.

“Ramadan adalah penghulu segala bulan. Jika kita berjaya meningkatkan amalan dalam Ramadan, insya-Allah, 11 bulan berikutnya juga akan dipenuhi kebaikan,” katanya.

Sepanjang Ramadan, pelajar akademi itu turut dijemput menjadi imam solat sunat Tarawih di sekitar kawasan Bota serta mengamalkan bacaan satu juzuk al-Quran setiap hari, sekali gus membantu mengukuhkan hafazan mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×