BAGI pencinta haiwan, tiada keputusan yang lebih berat selain bersetuju menidurkan haiwan peliharaan sendiri. Istilah put to sleep atau euthanasia sering menimbulkan rasa bersalah, sedih dan keliru.
Namun dari sudut perubatan veterinar, ia mempunyai maksud yang jauh lebih mendalam daripada sekadar ‘mengakhiri nyawa’.
Dalam bidang veterinar, tindakan menidurkan haiwan merujuk kepada prosedur euthanasia iaitu pemberian ubat secara terkawal bagi menghentikan hayat haiwan secara aman dan tanpa kesakitan. Ia dilakukan apabila haiwan berada dalam keadaan penderitaan melampau atau tiada lagi kualiti hidup yang baik.
Doktor veterinar di Kitty’s Cottage Desa Pandan, Dr. Nurzaty Ewani A. Hamid berkata, lazimnya, doktor haiwan akan mencadangkan euthanasia apabila haiwan mengalami penyakit kronik yang tidak boleh dirawat, trauma teruk seperti patah tulang belakang, kegagalan organ dalaman peringkat akhir atau kesakitan yang tidak lagi boleh dikawal dengan ubat.
Katanya, penilaian ini sering dikaitkan dengan konsep Lima Kebebasan Kebajikan Haiwan (Five Freedoms of Animal Welfare) iaitu bebas daripada lapar dan dahaga; ketidakselesaan; kesakitan dan penyakit; mengekspresikan tingkah laku semula jadi serta daripada ketakutan dan tekanan.
“Jika haiwan sudah tidak mampu menikmati kebebasan asas ini, maka doktor haiwan mungkin akan mencadangkan put to sleep sebagai pilihan berperikemanusiaan,” katanya kepada Seri.

BUKAN JALAN TERAKHIR
Namun, menidurkan haiwan bukan semestinya jalan terakhir dalam semua keadaan.
Dr. Nurzaty berkata, dalam sesetengah penyakit kronik seperti masalah buah pinggang atau jantung, haiwan masih boleh hidup selesa untuk tempoh lama dengan rawatan sokongan yang konsisten daripada pemilik.
Katanya, rawatan sokongan itu termasuk memastikan haiwan cukup makan dan minum, tidak mengalami dehidrasi, diberi ubat tahan sakit atau suplemen yang sesuai serta pemantauan rapi oleh doktor haiwan.
“Keputusan euthanasia biasanya dipertimbangkan apabila rawatan tidak lagi mampu mengawal kesakitan atau apabila penyakit menyebabkan penderitaan berpanjangan tanpa harapan untuk sembuh.
“Dari sudut perubatan, antara petunjuk utama haiwan sudah berada dalam fasa kesakitan melampau ialah hilang selera makan berterusan, tidak mampu bangun atau bergerak, sesak nafas, luka yang tidak sembuh, serta respons kesakitan walaupun selepas diberi ubat,” katanya.
Ada juga keadaan seperti trauma serius contohnya kecederaan saraf tunjang dan kesakitan kronik yang menyaksikan peluang untuk pemulihan amat tipis.
Ujar Dr. Nurzaty, dalam situasi sebegini, euthanasia bukanlah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa. Ia melalui penilaian klinikal menyeluruh dan perbincangan antara doktor haiwan dan pemilik.
PENILAIAN TERSENDIRI
Setiap doktor haiwan mempunyai pendekatan penilaian tersendiri, namun asasnya tetap sama iaitu adakah haiwan itu masih mampu menikmati hidup tanpa penderitaan yang tidak perlu?
Soalan penting yang sering ditanya termasuk ‘adakah haiwan masih mampu makan dan minum dengan selesa? Adakah ubat mampu mengawal kesakitannya? Adakah ia masih menunjukkan tingkah laku normal seperti berinteraksi atau bergerak?’
Jika jawapannya semakin banyak tidak, maka euthanasia mungkin dianggap pilihan terbaik demi kebajikan haiwan tersebut.
Dr. Nurzaty berkata, dari perspektif perubatan, euthanasia dianggap satu bentuk rawatan berperikemanusiaan.
Tujuannya bukan untuk memendekkan hayat secara sembarangan, tetapi untuk mengelakkan penderitaan yang tidak lagi dapat dirawat.
PROSEDUR
Katanya, di Malaysia, prosedur put to sleep biasanya dilakukan melalui suntikan ubat yang memberi kesan bius mendalam. Haiwan akan terlebih dahulu berada dalam keadaan sedasi atau koma sebelum fungsi pernafasan dan jantung berhenti.
“Proses ini lazimnya berlaku dalam beberapa minit sahaja dan dilakukan dengan cara yang memastikan haiwan tidak merasai kesakitan.
“Ramai doktor haiwan juga memberi ruang kepada pemilik untuk berada di sisi haiwan kesayangan mereka ketika prosedur dijalankan, sebagai penghormatan terakhir,” katanya.
Namun, sebelum keputusan ini dibuat, alternatif rawatan sokongan biasanya akan dibincangkan. Ini termasuk terapi kesakitan jangka panjang, rawatan paliatif, penjagaan luka, pemakanan khas dan pemantauan berkala.
Dalam penyakit tertentu seperti sporotrichosis yang memerlukan rawatan panjang dan intensif, kualiti hidup haiwan boleh terjejas sekiranya rawatan tidak memberi respons yang baik.
Di sinilah dilema emosi pemilik sering timbul iaitu antara keinginan untuk terus berusaha dan realiti penderitaan dialami haiwan.
HUKUM AGAMA
Dari sudut pandangan Islam, hukum menidurkan haiwan peliharaan yang menderita akibat penyakit adalah harus sekiranya ia bertujuan mengelakkan penderitaan berpanjangan.
Prinsip utama dalam Islam ialah ihsan terhadap semua makhluk.
Sekiranya rawatan tidak lagi memberi manfaat dan haiwan berada dalam kesakitan berterusan, maka tindakan tersebut dibenarkan atas dasar belas kasihan.
Ia tidak dianggap sebagai zalim atau membunuh tanpa sebab, sebaliknya ikhtiar untuk mengelakkan penderitaan lebih berat, selagi ia dilakukan dengan kaedah yang tidak menyeksakan.
Dalam dunia veterinar, prosedur menidurkan haiwan peliharaan yang sakit kronik adalah antara keputusan paling sukar, namun kadangkala, itulah bentuk kasih sayang paling tulus.










