Soalan
Anak saya berusia sembilan tahun. Sejak kebelakangan ini, dia kerap memberontak dan sukar mengawal emosi setiap kali keinginannya tidak dipenuhi. Apabila berhadapan dengannya, saya cuba tenangkan diri agar tidak memukul atau memarahinya. Namun dalam masa sama, saya sendiri bergelut dengan tekanan dan rasa kecewa. Apakah saya gagal menjadi ibu yang baik?
-Ibu gagal
Jawapan
Membesarkan anak yang masih belajar mengurus emosi bukan mudah.
Anak sedang belajar mengawal perasaan dan keinginan diri, manakala ibu pula berusaha menenangkan diri agar tidak bersikap kasar.
Walaupun letih dan tertekan, ibu tetap berusaha menjadi ibu yang baik. Berikuta adalah enam tip untuk menangani anak dan tekanan diri sebagai ibu:
a)Akui emosi – Terima kenyataan anda letih, marah, kecewa atau tertekan. Perasaan itu adalah normal bagi ibu. Mengakui perasaan sendiri membantu anda lebih tenang dan bersedia menghadapi cabaran dalam mendidik anak tanpa perlu menjerit atau bersikap kasar.
b)Fahami fasa emosi anak – Bersabar dan beri anak ruang untuk belajar, walaupun tingkah laku mereka sangat mencabar. Fahami kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran mereka.
c)Tetapkan rutin – Rutin harian yang teratur memberi anak anda rasa selamat dan stabil. Dalam masa sama, ia memudahkan ibu mengurus masa dan emosi sendiri.
d)Berkomunikasi – Sampaikan arahan, teguran atau nasihat kepada anak dengan nada tenang dan jelas. Elakkan bercakap kasar atau menengking ketika marah. Komunikasi yang positif dapat membantu anak lebih mudah memahami dan bekerjasama.
e)Belajar me-time – Jangan abaikan keperluan diri. Luangkan sedikit masa untuk rehat, membaca buku atau melakukan aktiviti yang menenangkan minda. Tenaga dan kesabaran yang pulih membolehkan ibu mendidik anak dengan lebih sabar serta berkesan.
f)Dapatkan sokongan – Berkongsi pengalaman dengan pasangan, keluarga atau rakan yang dipercayai dapat membantu meringankan tekanan. Perspektif baru atau nasihat berguna boleh memberi kekuatan emosi dan idea penyelesaian cabaran yang lebih praktikal.
Yakinkan diri anda bukan ibu yang gagal. Kepenatan membuatkan anda hilang arah. Fokus kembali pada keluarga dan belajar untuk melalui proses membesarkan bersama-sama.
Setiap kali anda memilih untuk menahan tangan, menenangkan suara dan cuba memahami mereka, itulah tanda kemenangan untuk anda.










