PETALING JAYA: Ringgit berpotensi mencecah paras RM3.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) lebih awal, didorong oleh data makroekonomi yang kukuh serta lonjakan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup pada 3.9070/3.9130 berbanding 3.8970/3.9020 pada sesi dagangan akhir Isnin lalu.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran semasa yang menyaksikan ringgit berpotensi mencecah RM3.70 menjelang akhir tahun atau lebih awal adalah sesuatu yang boleh direalisasikan.
Menurut beliau, pendekatan Bank Negara Malaysia (BNM) yang membenarkan kuasa pasaran menentukan hala tuju mata wang negara turut memberi ruang kepada pengukuhan ringgit secara lebih mampan.
“Banyak faktor positif kini menyokong kekuatan ringgit, antaranya kelemahan dolar AS, data makroekonomi Malaysia yang kukuh serta ekonomi domestik yang berdaya tahan.
“Selain itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dalam industri teknologi maklumat (IT) memberi kesan berganda kepada segmen ekonomi lain seperti pembinaan, runcit, hartanah, logistik dan pengangkutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lonjakan ringgit sejak kebelakangan ini juga didorong oleh semakan semula portfolio oleh pengurus dana global susulan pertumbuhan korporat Malaysia yang semakin memberangsangkan.
Katanya, Bursa Malaysia kembali melepasi paras 1,750 mata dengan pelabur asing bertindak sebagai pembeli bersih, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara.
“Dalam masa sama, keadaan ekonomi yang mencabar di beberapa negara serantau seperti Thailand dan Indonesia yang berdepan isu domestik masing-masing turut mendorong pelabur mencari alternatif portfolio yang lebih stabil di Malaysia.
“Secara keseluruhannya, gabungan faktor antarabangsa dan domestik menyumbang kepada pengukuhan ringgit yang kini mengatasi prestasi beberapa mata wang utama Asia,” ujarnya.
Tambahnya, kali terakhir ringgit diniagakan melebihi paras RM3.70 adalah pada 2005 ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi, yang mengumumkan penamatan tambatan ringgit pada kadar RM3.80 pada Julai 2005.
“Sehari selepas langkah tersebut, iaitu pada pukul 10.30 pagi, 22 Julai 2005, ringgit meningkat 0.33 peratus kepada RM3.7875 berbanding dolar AS, menandakan permulaan era baharu penentuan kadar tukaran secara lebih fleksibel,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sekiranya ringgit terus mengukuh, kesan langsung yang paling ketara ialah tekanan inflasi lebih terkawal kerana kos import lebih rendah, sekali gus membantu menstabilkan harga barangan pengguna.
“Kuasa beli rakyat juga meningkat apabila nilai mata wang lebih tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan luar negara.
“Namun, sektor eksport mungkin berdepan sedikit cabaran kerana harga produk Malaysia menjadi relatif lebih mahal kepada pembeli luar.
“Kesan ini biasanya sederhana jika pengukuhan berlaku secara terkawal dan disokong oleh peningkatan produktiviti serta permintaan global yang stabil,” katanya. –UTUSAN









