Jadikan Ramadan tahun ini terbaik - Utusan Malaysia

Jadikan Ramadan tahun ini terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, syukur dan segala puji bagi Allah SWT yang memberikan kesempatan kepada kita untuk menjalani ibadah puasa – Rukun Islam yang keempat, yang mewajibkan kita menahan diri daripada makan, minum dan perkara membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dilaksanakan oleh setiap Muslim yang baligh, berakal serta mampu.

Puasa juga bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah ia juga mempunyai pelbagai kelebihan dari segi kesihatan fizikal dan spiritual, termasuk mengawal diabetes, meningkatkan kesihatan jantung, membantu pe­nurunan berat badan, meningkatkan fungsi otak dan daya tumpuan.

Dari aspek rohani, ia melatih kesabaran, me­ningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, mengurangkan hawa nafsu dan memupuk keikhlasan serta disiplin diri. Secara keseluruhannya, puasa ialah terapi menyeluruh yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan jiwa.

Di bulan Ramadan ini juga, adalah waktu terbaik untuk kita muhasabah diri. Merenung kembali apa sahaja kelakukan kita di masa lalu yang tergelincir dari landasan kebenaran.

Jadikanlah Ramadan kali ini sebagai ‘sumur’ untuk kita menyucikan diri daripada segala dosa yang kita lakukan sama ada secara sengaja, sedar atau tidak.

Dengan berpuasa juga kita dapat melawan hawa nafsu yang selama ini sering menjadi pendorong dan penghasut utama dalam diri kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggar batas-batas ‘amar ma’ruf nahi munkar’.

Jadikanlah puasa tahun ini bukan hanya ritual tahunan, tetapi satu proses pembentukan diri yang menyeluruh—jasmani, emosi dan rohani. Dengan memahami tujuan dan menghayatinya sepenuh hati, puasa dapat menjadi titik tolak kepada kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.

Kita yang masih diberi peluang oleh Yang Maha Esa untuk menjalani ibadah puasa kali ini harus banyak bersyukur dan bertafakur. Ramai dalam kalangan ahli keluar­ga, sahabat-sahabat atau kenalan kita yang sudah pergi meninggalkan kita tanpa sempat berpuasa pada tahun ini.

Justeru, manfaatkanlah peluang keemasan yang dianugerahkan Allah SWT ini sebaik mungkin. Kautlah sebanyak mungkin segala fadilat yang dijanjikan Allah SWT sepanjang bulan Ramadan ini sebagai bekalan kita di akhirat nanti.

Dijangka sepanjang Ramadan ini juga beberapa isu besar seperti ekonomi, kes-kes jenayah membabitkan ra­suah dan politik yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini akan ‘mengendur’ sementara, namun berita-berita luar negara seperti krisis politik di Peru, ketega­ngan isu nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, kerjasama nuklear AS-Hungary, perubahan politik di Asia Selatan dan nasib rakyat Palestin di Gaza akan te­rus menjadi topik utama.

Apapun kita bersyukur kerana keamanan dan ke­stablian ekonomi negara membolehkan rakyat Malaysia menjalani ibadah puasa dan kaum Tionghua dapat menyam­but perayaan Tahun Baharu Cina dengan aman damai, biarpun negara ini sedikit diwarnai dengan krisis politik dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kepada seluruh umat Islam, diucapkan ‘Selamat Menjalani Ibadah Puasa’. Semoga ibadah puasa tahun ini le­bih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. – UTUSAN

Imran Mohamad Nor ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×