AJK Bersatu Gopeng umum letak jawatan

AJK Bersatu Gopeng umum letak jawatan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bersatu Bahagian Gopeng menjadi bahagian keempat parti itu di negeri ini yang didakwa terbubar berikutan semua Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian meletak jawatan dan mengisytiharkan keluar parti semalam.

Sebelum ini semua ahli jawatankuasa tiga bahagian Bersatu Perak iaitu Larut, Padang Rengas dan Tapah, mengisytiharkan meletak jawatan dan keluar parti.

Keputusan peletakan jawatan semua AJK Bersatu Bahagian Gopeng semalam dibacakan oleh Timbalan Ketua Bersatu bahagian itu, Mohd. Azhari Md. Ariffin bersama semua AJK bahagian yang dimuat naik dalam satu rakaman video.

Keputusan dibuat selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setelah mengadakan mesyuarat khas Bahagian, kami bersetuju dan istiqamah pada hari ini bertarikh 17 Februari meletakkan jawatan kami dan mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang mendalam khususnya disebabkan hilang kepercayaan kami terhadap barisan kepimpinan parti yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Presiden.

“Selain beberapa kepincangan dalam proses membuat keputusan serta hala tuju kepimpinan yang pada pandangan kami tidak selari dengan prinsip dan perjuangan yang kami pegang.

“Dengan peletakan jawatan seluruh jawatankuasa bahagian secara rasminya jawatankuasa Bersatu bahagian terbubar serta merta. Kenyataan ini adalah ikhlas tanpa paksaan daripada mana mana pihak,” kata Mohd. Azhari dalam satu rakaman video.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak dipecat kerana didakwa melanggar peraturan parti.

Pemimpin Bersatu dari Perak yang turut pecat termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan, juga Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob serta ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Turut dipecat Ketua Bahagian Teluk Intan, Kamaruddin Majid dan Ketua Bahagia Tapah, Mohd. Yunus Mohd Yusop. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×