PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menafikan sebarang tawaran mengerjakan haji secara percuma sama ada secara langsung atau melalui anak syarikat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam mana-mana platform media sosial.
Tabung Haji memaklumkan, sebarang tawaran sedemikian adalah palsu dan bertujuan mengelirukan orang ramai.
“TH telah mengesan kewujudan beberapa akaun media sosial yang membuat tawaran haji percuma.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi atau butiran akaun Tabung Haji kepada mana-mana pihak ketiga bagi mengelakkan risiko penipuan.
“Orang ramai juga diminta merujuk saluran komunikasi rasmi Tabung Haji bagi sebarang pengesahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. – UTUSAN











