Keuntungan ekonomi dipulangkan kepada rakyat

Keuntungan ekonomi dipulangkan kepada rakyat

ANWAR Ibrahim pada majlis Sumbangan Kasih Madani Parlimen Tambun SempenaTahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy, Ipoh, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan memulangkan keuntungan ekonomi yang diperoleh negara kepada rakyat melalui pelbagai bantuan se­perti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan menaikkan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, de­ngan kekuatan ekonomi dan pendapatan negara yang semakin mening­kat, memboleh­kan kerajaan menjaga rakyat menerusi dana berpuluh bilion yang diberikan.

Beliau berkata, menerusi STR dan SARA, kerajaan berbelanja RM15 bilion setahun manakala RM18 bilion pula untuk menaik­kan gaji penjawat awam.

“Maknanya kita gunakan keuntungan hasil daripada ekonomi yang baik kepada rakyat. Kita guna dana RM18 bilon untuk tambah gaji penjawat awam yang telah berkhid­mat dengan baik kepada negara.

“Ini cara kita berterima kasih kerana sudah berbelas tahun penjawat awam tidak naik gaji, ini pertama kali kita naikkan, mudah-mudahan kerja pun lebih baik,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, semalam.

Anwar berkata, keamanan dan tadbir urus yang bersih merupakan syarat penting bagi memastikan negara terus mencatatkan prestasi ekonomi yang baik.

Beliau berkata, negara mampu bangkit dan mencapai potensi terbaik sekiranya amalan mencuri harta rakyat serta ra­suah dihentikan.

Jelas beliau, Malaysia mempunyai potensi yang sangat baik malah di Asia Tenggara, potensi ekonomi Malaysia antara terbaik manakala ringgit mencatat prestasi terbaik di seluruh Asia.

“Jadi, sebab itu kita harus mempertahankan, jangan kita terbawa-bawa dengan masalah kecil, bergaduh sehingga memecah belahkan antara kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan ketinggalan jika tidak melaksanakan dasar persekolahan pada usia muda seawal enam tahun yang telah banyak dilaksanakan oleh negara.

Menurutnya, keputusan kerajaan melaksanakan kema­sukan murid darjah satu pada usia enam tahun yang akan bermula tahun depan merupakan satu keperluan untuk kemajuan negara.

“Ada yang gelisah apabila kita hendak melaksanakan kemasukan murid tahun satu pada umur enam tahun. Ada yang kata pada usia itu kanak-kanak belum bersedia tapi satu dunia melaksanakannya, sudah banyak negara terima kemasukan murid ke sekolah bermula pada umur enam tahun.

“Kalau kita ketinggalan satu tahun, kita tidak boleh bersaing. Anak-anak yang berumur enam tahun sekarang bukan macam saya semasa saya ber­usia enam tahun dahulu.

“Kanak-kanak enam tahun sekarang lebih segar, lebih pintar, lebih terdedah dengan semua bidang ilmu pengetahuan. Jadi kita buat keputusan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun,” katanya.

Dalam majlis berasingan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan sekolah, selaras dengan keperluan semasa. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×