Lebih 100 bahagian Bersatu bubar?

Lebih 100 bahagian Bersatu bubar?

HASHIM SUBOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan per­pecahan besar-besaran dan berkemungkinan lumpuh ekoran gelombang penolakan akar um­bi terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada parti.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh memberitahu, beliau menjangka lebih 100 bahagian di seluruh negara bakal dibubarkan sebagai tanda sokongan mereka terhadap Hamzah.

Katanya, kebanyakan ahli Parlimen Bersatu pula akan terus menyatakan sokongan terbuka terhadap Hamzah sete­rusnya menekan Muhyiddin agar segera berundur.

Beliau berkata, kesan daripada pemecatan Hamzah itu juga bakal menyaksikan Bersatu hilang separuh daripada kekuatan yang turut akan memberi kesan kepada masa depan Perikatan Nasional (PN), dengan Pas dijangka bakal mengambil pendirian bergerak solo.

“Pemecatan Hamzah bakal disambut dengan siri peletakan jawatan kepemimpinan Bersatu pelbagai peringkat selepas ini dan pembubaran bahagian-bahagian Bersatu seluruh negara.

“Pas sebelum ini juga membayangkan jika parti komponen bermasalah adalah lebih baik bertanding sendiri atau bergerak solo selain saya yakin Hamzah dan rakan-rakan pula akan terus membina permuafakatan de­ngan Pas,” katanya kepada Ming­guan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dipecat daripada parti.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan berkata, keputusan itu diambil selepas mendapati Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Selain Hamzah antara nama besar lain yang dipecat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Bahagian Padang Rengas merangkap Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Azhari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beberapa pemimpin akar umbi termasuk ketua-ketua bahagian dari pelbagai negeri turut menerima nasib sama.

Pertembungan dalaman Bersatu jelas semakin parah apabila sebelum 17 ahli Parlimen Bersatu termasuk Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Presiden dan memberi ruang kepada Hamzah untuk mengemudi parti.

Hashim berkata, Hamzah dan majoriti yang bersama beliau dijangka menyertai mana-mana parti politik nasional seterusnya bekerjasama dengan Pas membentuk pakatan baharu.

Katanya, PN pula bakal ter­kubur atau terpecah dengan sendirinya selepas ini.

“Perkongsian gambar pertemuan Hamzah dengan Presiden Pas dan beberapa pemimpin kanan Pas yang lain di Rusila jelas menunjukkan Pas sangat selesa dengan Hamzah.

“Hamzah dan rakan-rakan lain mungkin akan memilih wadah atau parti politik yang ada tetapi bukannya parti-parti besar seperti UMNO atau sebagai­nya. Seterusnya berkemungkinan membentuk gabungan baharu dengan Pas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×