Infaq Ramadan: Antara ikhlas dan pembaziran

Infaq Ramadan: Antara ikhlas dan pembaziran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan rahmat. Pada bulan inilah umat Islam berlumba-lumba melakukan amal kebajikan seperti bersedekah dan berinfaq.

Antara amalan yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Ganjarannya amat besar sebagaimana disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Namun begitu, dalam keghairahan melakukan kebajikan, umat Islam perlu memastikan setiap sumbangan dilakukan dengan perancangan yang baik.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff berkata, Infaq yang tidak dirancang boleh membawa kepada pembaziran, sedangkan Islam sangat menitikberatkan soal pengurusan harta secara berhemah.

Menurut beliau, terdapat situasi di mana rumah anak-anak yatim atau pusat kebajikan menerima terlalu banyak sumbangan makanan sehingga berlaku lebihan.

“Apabila makanan terlalu banyak dan tidak dapat diagihkan dengan baik, ia akhirnya terpaksa dibuang. Keadaan ini bercanggah dengan semangat Ramadan itu sendiri.

“Begitu juga dengan surau dan masjid yang menerima tajaan berbuka puasa yang berlebihan pada hari-hari tertentu.

“Dalam masa sama, mungkin terdapat tempat lain yang lebih memerlukan bantuan tetapi tidak menerima sumbangan secukupnya,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia.

Justeru, Mohd. Izhar yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Jabatan Syariah, al-Azhar, Mesir berkata, sebelum menderma, seseorang itu perlu bertanya dan menyelidik keperluan sebenar pihak yang ingin dibantu.

“Ada institusi yang sebenarnya lebih memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos operasi berbanding makanan.

“Sumbangan yang menepati keperluan penerima akan memberi manfaat yang lebih besar dan berpanjangan.

“Prinsip utama dalam berinfaq adalah memastikan ia memberi maslahat dan mengelakkan mudarat seperti pembaziran. Islam melarang pembaziran kerana ia termasuk dalam perbuatan yang tidak disukai Allah SWT,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap pihak yang mengambil kesempatan atas nama agama.

Katanya, Ramadan bukanlah ruang untuk menjual produk tertentu dengan mempergunakan ayat-ayat al-Quran atau istilah keberkatan bagi tujuan keuntungan peribadi.

“Kini terdapat promosi di media sosial yang menjual apa yang dinamakan sebagai ‘air doa’ atau ‘air zikir’.

“Amalan menjual air yang didakwa mempunyai keberkatan tertentu secara komersial tidak pernah diajar dalam Islam. Islam tidak mengajar umatnya memperdagangkan doa dan zikir untuk meraih keuntungan.

“Jika seseorang ingin memberi hadiah atau sumbangan kepada individu yang membacakan doa, ia dibenarkan selagi tidak dijadikan perniagaan,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang dilarang adalah menjadikan agama sebagai alat untuk meminta bayaran atau ‘gift’ secara terbuka di platform media sosial.

“Perbuatan mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain adalah satu bentuk kezaliman. Allah SWT berfirman: “Kamu tidak boleh menzalimi dan tidak boleh dizalimi.” (Surah al-Baqarah: 279).

“Rasulullah SAW juga bersabda: “Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim).

“Oleh itu, marilah kita menjadikan Ramadan sebagai medan memperbanyak infaq yang terancang, ikhlas dan bebas daripada unsur eksploitasi, agar setiap amal kebajikan benar-benar diterima dan diberkati Allah SWT.” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×