Obesiti: Jangan salahkan perut, tetapi otak

Obesiti: Jangan salahkan perut, tetapi otak

Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Chan Siew Peng menunjukkan punca kesukaran menurunkan berat badan dengan diet dan senaman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Macam mana hendak kurus, asyik makan saja! “ Itu kata-kata yang sering dilemparkan kepada mereka berbadan besar. Walaupun mungkin ia sekadar gurauan, kata-kata itu tetap menghiris jiwa dan menjejaskan mental mereka.

Usah perkecilkan mereka yang hidup dengan obesiti (PwO) kerana kadangkala bukannya mereka tidak berusaha menurunkan berat badan tetapi usaha mengamalkan diet sihat dan bersenam masih gagal mencapai matlamat menurunkan berat badan.

Antara masalah dihadapi PwO yang mungkin tidak ramai mengetahui mengenainya adalah ‘bisikan’ yang terus menggoda mereka untuk makan tanpa henti walaupun ketika tidak lapar.

Pakar Perunding Endokrinologi dan Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), Prof. Dr. Rohana Abdul Ghani berkata, memang tidak dinafikan PwO yang tidak boleh berhenti makan berkemungkinan berdepan dengan ‘bisikan’ untuk terus makan (food noise).

“Bercakap mengenai food noise ia sememangnya berlaku. Ada PwO atau pesakit yang sebenarnya tidak lapar tetapi tetap mahu sesuatu untuk dikunyah. Sebagai contoh, apabila terpandang iklan makanan pun mereka akan dengar suara yang mahu memakannya.

“Bisikan ini merujuk kepada keinginan untuk makan yang kerap dan berterusan walaupun tidak lapar. Di telinga mereka, seolah-olah ada yang membisik apa yang hendak dimakan dan bila hendak makan yang mengganggu kehidupan seharian,” katanya.

Katanya lagi, bisikan itu akan memburukkan lagi pengurusan berat badan dan mencetuskan tekanan kepada PwO selain menjejaskan diet serta pengambilan makanan berkhasiat.

Punca berlaku food noise boleh diterangkan dengan ketidakseimbangan hormon di mana hormon lapar sentiasa menghantar isyarat untuk makan. Selain itu, ia boleh disebabkan tekanan atau kebosanan yang diatasi dengan makan.

Menonton iklan makanan secara berterusan di televisyen atau media sosial juga boleh menyebabkan seseorang mengalami food noise selain menghidu bau makanan juga boleh membuatkan mereka mengidam untuk makan.

Masalah genetik sebabkan berat bertambah

Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Chan Siew Peng berkata, masalah obesiti juga perlu diiktiraf sebagai masalah berkaitan genetik kerana ia menentukan berat badan termasuk berapa banyak anda makan, bila perlu berhenti, berapa banyak tenaga perlu dikurangkan untuk diseimbangkan dengan aktiviti seharian.

“Masyarakat perlu berfikir, adakah obesiti disebabkan pilihan gaya hidup yang kurang sihat semata-mata? Berat badan juga ditentukan oleh genetik seperti warna rambut, kulit, mata dan sebagainya.

“Jadi, jangan salahkan perut semata-mata sebaliknya otak kerana tingkah laku pemakanan berkaitan cara otak berfungsi dalam menetapkan selera kita.

“Ada yang makan sebagai tindak balas kepada kelaparan, dikawal oleh isyarat maklum balas endokrin yang dikenali sebagai Pemakanan Homeostatik,” katanya.

Katanya lagi, ada yang makan untuk keseronokan yang dikawal oleh sistem ganjaran otak yang dikenali sebagai Pemakanan Hedonik dan ketiga Fungsi Eksekutif iaitu proses kawal selia kendiri yang mempengaruhi keputusan untuk makan atau tidak.

Maka, katanya lagi, setiap PwO perlu memahami fisiologi tubuh yang akan menentang iaitu apabila mereka kehilangan berat badan, badan akan melawan untuk menaikkan semula berat badan semula. Itulah sebabkan mereka gagal untuk menurunkan berat.

Jurang pemahaman obesiti ketara

Siew Peng berkata, hasil tinjauan “ACTION-MY” yang dijalankan di Malaysia, membabitkan 1,001 Orang dengan Obesiti (PwO) dan 200 Profesional Penjagaan Kesihatan (HCP), mendapati terdapat jurang ketara berterusan dalam kalangan HCP dan PwO dalam pemahaman mereka mengenai obesiti.

“Beberapa penemuan utama termasuk kurang 75 peratus PwO/HCP percaya obesiti mempunyai kesan kesihatan yang melampau manakala 45 peratus HCP percaya penurunan berat badan adalah tanggungjawab pesakit.

“Sementara itu, 60 peratus PwO mengalami kenaikan semula berat badan selepas penurunan berat badan disebabkan diet YOYO.

“Daripada kajian yang sama satu daripada tiga individu obes berbincang masalah berat badan mereka dengan doktor, namun hanya seorang daripada 10 berpeluang mencuba terapi penurunan berat badan dan berjaya,” katanya.

Siew Peng berkata, masyarakat tidak boleh menyalahkan PwO kerana sehingga kini, tiada terapi yang betul- betul berjaya untuk menangani masalah berat badan berlebihan.

Pengurusan Obesiti Malaysia 2023, menggariskan cadangan untuk pesakit yang bersedia untuk menyertai program penurunan berat badan.

Antara cadangan utama adalah intervensi gaya hidup dan menilai semula gaya hidup secara berkala.

“Langkah seterusnya, pesakit juga boleh mempertimbangkan untuk menjalani terapi ubat-ubatan (farmakoterapi). Farmakoterapi harus digunakan sebagai tambahan kepada diet, senaman dan pengubahsuaian tingkah laku, bukan secara bersendirian.

“Pesakit juga boleh memilih untuk melakukan pembedahan bariatrik namun semua rawatan anti-obesiti perlu digunakan di bawah penyeliaan perubatan dan pemantauan rapi doktor yang berkenaan,” katanya.

Kematian akibat penyakit berkaitan obesiti

Siew Peng berkata, Malaysia memikul beban yang besar akibat berat badan berlebihan yang dikaitkan dengan kematian pra matang dan penyakit kardiovaskular atau jantung.

Sebanyak 33 peratus daripada jumlah kematian pada 2022 dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular. Ini menunjukkan betapa kritikalnya masalah ini dalam negara kini.

Terdapat peningkatan sebanyak 21 peratus dalam bilangan individu yang menjalani intervensi koronari perkutaneus (PCI) antara tempoh 2019-2020 dan 2021-2022. Peningkatan ini mencerminkan keperluan rawatan yang semakin tinggi untuk masalah jantung.

“Statistik ini membimbangkan mengenai beban penyakit kardiovaskular (CVD) di Malaysia, terutamanya apabila ia wujud bersama dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Data-data ini menggariskan cabaran kesihatan awam yang serius yang dihadapi oleh negara.

“Kira-kira 83 peratus individu yang menghidap CVD juga mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Korelasi yang tinggi ini menunjukkan hubungan rapat antara obesiti dan risiko penyakit jantung, menekankan keperluan untuk menangani kedua-dua isu kesihatan ini secara serentak,” katanya.

Secara keseluruhan, data ini memberikan gambaran jelas mengenai krisis kesihatan awam di Malaysia berkaitan CVD dan obesiti. Ia menekankan kepentingan langkah pencegahan, pengurusan berat badan yang berkesan dan kesedaran awam yang lebih tinggi mengenai faktor risiko yang berkaitan.

Situasi ini menjadi lebih kritikal apabila menggunakan kriteria Indeks Jisim Badan (BMI) tempatan Malaysia (MY CPG) yang menetapkan ambang atau standard lebih rendah untuk populasi Asia.

Mengikut kriteria tempatan, peratusan kumulatif untuk berat badan berlebihan dan obes melonjak kepada 70.1 peratus. Ini menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia berisiko mengalami komplikasi kesihatan berkaitan berat badan. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×