OSLO: Bekas perdana menteri Norway, Thorbjørn Jagland didakwa atas tuduhan rasuah serius ketika beliau bersahabat dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein, menurut pihak polis.
Pertuduhan itu dibuat selepas Majlis Eropah menarik balik kekebalan diplomatik Jagland yang diperolehnya sebelum ini.
Menurut peguam, beliau menafikan sebarang liabiliti jenayah dan bersedia bekerjasama dalam siasatan kes tersebut.
Tiga hartanah Jagland dilaporkan digeledah oleh unit jenayah Norway, Økokrim
Berdasarkan e–mel yang dikeluarkan kerajaan AS, Jagland merancang lawatan ke kediaman Epstein di Paris, New York dan Palm Beach, Amerika Syarikat (AS) selepas bilionair itu disabitkan kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak.
Selain menjadi perdana menteri pada 1996 hingga 1997, Jagland juga pernah mengetuai Jawatankuasa Nobel Norway dan berkhidmat selama sedekad sebagai setiausaha agung Majlis Eropah.
Jagland menikmati kekebalan diplomatik hasil kedudukannya mengetuai majlis tersebut, badan pemantau demokrasi dan hak asasi manusia di Eropah.
Økokrim meminta kekebalan itu ditarik balik selepas melancarkan siasatan awal bulan ini terhadap dakwaan rasuah serius antara 2011 hingga 2018.
Fail berkaitan Epstein yang diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman AS menunjukkan pembiaya itu didakwa menanggung kos perjalanan Jagland dan keluarganya ke beberapa hartanahnya. – AGENSI










