TUMPAT: Van rosak di tengah jalan ketika membawa jenazah ke tanah perkuburan adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh penduduk Mukim Bendang Kerian di sini, sepanjang dua tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, penduduk Mukim Bendang Kerian terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori kayu sebagai alternatif jika van berusia 30 tahun itu mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, hasrat penduduk memiliki kenderaan yang lebih selamat dan sempurna akhirnya menjadi kenyataan apabila Tamada Motor Club menyumbangkan van jenazah dari jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria.
Penghulu Mukim Bendang Kerian, Mohd. Yasad Abdul Aziz berkata, van jenazah tersebut memberi manfaat kepada 300 keluarga di dua buah kampung iaitu Alor Tal dan Bendang Kerian.
“Jika ada kematian serentak, sangat sukar menguruskan jenazah kerana van jenazah lama adalah kenderaan terpakai yang kerap rosak, selain berusia 30 tahun.
“Pihak masjid terpaksa mengguna pacuan empat roda atau lori muatan kayu untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan,” katanya di pekarangan Masjid As-Salam Mukim Bendang Kerian, semalam.
Sementara itu, Presiden Tamada Motor Club, Yudith Baharim Baharudin berkata, pihaknya menyumbangkan MPV Naza Ria untuk menggantikan van jenazah yang uzur di masjid berkenaan.
“MPV terpakai ini bernilai RM50,000 termasuk kos penyelenggaraan semula. Ini kali pertama kelab kami menyumbangkan van jenazah kepada masjid kerana sebelum ini melibatkan sumbangan zakat kepada anak yatim dan majlis berbuka puasa dengan dananya daripada ahli serta keluarga kelab kami,” ujarnya. – UTUSAN










