JOHOR BAHRU: Pemandu terpaksa menempuh perjalanan dua jam di Tambak Johor hanya untuk jarak perjalanan 1.056 kilometer (KM) bagi memasuki negara ini susulan kesesakan trafik menjelang Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesesakan berlaku pada waktu tengah hari susulan pemeriksaan yang dibuat pihak berkuasa terhadap semua kenderaan memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.
Kesesakan sama boleh dilihat melibatkan pergerakan pengembara yang merentas sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia itu menggunakan pengangkutan awam seperti bas.
Seorang penduduk Johor Bahru, Chai Hui Choong, 47, memberitahu, kesesakan tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Tambak Johor memang menyaksikan pergerakan kira-kira 400,000 pengembara secara harian.
“Jika lihat Tambak Johor sesak, itu perkara biasa lebih lagi ketika waktu puncak sama ada waktu awal pagi ataupun petang. Namun ada kala sewaktu musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, memang akan jadi lebih sesak.
“Untuk orang Johor Bahru ini perkara biasa, jika kita mahu merentas sempadan pada waktu ini kita perlu sedia menghadapi kesesakan kadang-kadang sehingga dua jam.
“Hari ini masih belum teruk lagi, tetapi dijangka esok (Jumaat), Sabtu dan Ahad mesti akan jadi lebih sesak lagi,” katanya. – UTUSAN











