Tirai besi tidak sekat suara Narges Mohammadi

Tirai besi tidak sekat suara Narges Mohammadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Narges Mohammadi sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila pemenang Hadiah Keamanan Nobel dari Iran itu dikenakan hukuman penjara baharu, ketika kesihatannya semakin merosot selepas menamatkan mogok lapar hampir seminggu.

Aktivis hak asasi berusia 53 tahun itu, yang memenangi anugerah berprestij berkenaan pada 2023, kini menghabiskan dua bulan terakhir dalam tahanan selepas lantang mengkritik kerajaan Iran ketika menghadiri satu majlis pengebumian pada Disember lalu.

Terbaharu, Narges dihukum penjara enam tahun bagi pertuduhan menjejaskan keselamatan negara, selain tambahan satu setengah tahun penjara kerana didakwa menjalankan ‘propaganda’ menentang sistem Islam Iran, menurut kenyataan yayasan yang menguruskan perjuangannya.

Sebagai tanda penentangan, Narges enggan mengemukakan sebarang pembelaan ketika dibawa ke hadapan hakim, malah tidak memberikan sebarang kenyataan sebelum dikenakan hukuman.

Suaminya yang menetap di Paris, Taghi Rahmani, menyifatkan proses perbicaraan itu sebagai tidak sah dan sekadar sandiwara. Menurutnya, Narges percaya keputusan sudah ditetapkan sejak awal tanpa ruang keadilan sebenar.

Selain hukuman penjara, Narges turut diarahkan menjalani pembuangan negeri selama dua tahun ke bandar Khosf di wilayah South Khorasan, di timur Iran, kata peguamnya, Mostafa Nili.

Nili memaklumkan, Narges hanya sempat menghubunginya melalui panggilan telefon yang kedua sejak penangkapannya di Mashhad pada Disember bagi memaklumkan hukuman tersebut.

Pada 2 Februari lalu, Narges memulakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap keadaan tahanan serta sekatan komunikasi dengan peguam dan keluarga. Namun, mogok itu ditamatkan pada hari keenam selepas keadaan fizikalnya membimbangkan.

Menurut yayasannya, Narges sempat dipindahkan ke hospital akibat kesihatan yang semakin merosot, namun dipulangkan semula ke pusat tahanan keselamatan sebelum rawatan selesai, satu tindakan yang disifatkan mengancam nyawanya dan melanggar prinsip hak asasi manusia.

KRITIKAN NARGES
Antara sasaran utama kritikan Narges ialah sistem kehakiman Iran yang disifatkannya tidak adil dan tidak bebas. Menurut beliau, badan kehakiman digunakan sebagai alat politik untuk menekan suara pembangkang serta aktivis, sekali gus menafikan prinsip keadilan sebenar.

Beliau juga lantang menentang penggunaan hukuman mati di Iran. Beliau mengecam pelaksanaannya yang kerap dan tidak telus, selain mendakwa hukuman tersebut sering menyasarkan golongan miskin dan individu yang bersuara menentang kerajaan.

Dalam isu wanita, Narges menegaskan kod pemakaian wajib, termasuk kewajipan bertudung, adalah simbol kawalan negara terhadap tubuh dan kebebasan wanita. Bagi beliau, dasar itu bukan soal agama semata-mata, tetapi penafian hak memilih dan bersuara.

Beliau turut memberi perhatian terhadap layanan kepada tahanan politik di Iran. Narges mendedahkan keadaan penjara yang tidak berperikemanusiaan, termasuk penderaan fizikal dan mental, sekatan berhubung dengan keluarga serta peguam, dan pemenjaraan yang digunakan sebagai hukuman senyap.

Isu ini menjadi lebih dekat dengan dirinya apabila beliau sendiri berulang kali merasai kehidupan di sebalik tirai besi. Pengalaman peribadi itu menjadikan kritikan Narges lebih tajam dan sukar disangkal.

Dalam gelombang kebangkitan rakyat, Narges menyokong protes 2022–2023 yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis moral. Beliau mempertahankan hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan kemarahan terhadap ketidakadilan.

Pada masa sama, beliau mengkritik keras tindakan ganas kerajaan dalam mengekang protes, yang menurut aktivis telah mengorbankan ribuan nyawa serta membawa kepada penahanan besar-besaran.

Lebih berani, Narges secara terbuka meramalkan kejatuhan sistem pemerintahan ulama Iran yang berkuasa sejak Revolusi Islam 1979. Kenyataan ini dianggap sangat sensitif dan mencabar asas kuasa politik negara itu.

Di sebalik tekanan dan hukuman bertimpa-timpa, perjuangan Narges menentang hukuman mati dan kod pemakaian wajib wanita di Iran tidak pernah pudar. Sepanjang lebih dua dekad, beliau berulang kali dibicarakan dan dipenjarakan kerana pendirian lantangnya.

Anak perempuannya, Kiana, meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan ibunya dan menggesa pembebasan segera semua tahanan politik di Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×