SEREMBAN: Kuala Pilah antara lokasi dikenal pasti sebagai transit sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri setiap kali operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, situasi tersebut dikesan hasil risikan pihaknya menerusi Ops Timo kira-kira dua tahun lepas.
Menurutnya, faktor jarak yang dekat menjadi sebab utama Kuala Pilah dipilih melarikan diri kerana mereka tidak mahu berpindah jauh dari Seremban.
“Apabila kita mempergiatkan operasi di kawasan bandar Seremban dan Nilai, ada PATI yang lari ke luar daripada kawasan ini dan antara tempat yang dituju adalah Kuala Pilah.
“Selain itu, ia juga mudah diakses serta dari segi peluang pekerjaan pula, terdapat banyak ladang, kawasan kampung serta rumah yang tidak diduduki. Ini memudahkan mereka bersembunyi dan bekerja secara tidak sah,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Sesi Perjumpaan Media Bersama Pengarah Imigresen Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Kennith Tan berkata, Ops Timo yang dilaksanakan selama dua tahun berturut-turut sebagai tindak balas kepada pergerakan PATI yang kebanyakan PATI dikesan terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.
“Mereka akan tinggal di rumah yang tidak berpenghuni di kawasan kampung serta akan melakukan pekerjaan seperti menjaga ternakan, buruh ladang dan pekerja binaan,” katanya.
Dalam pada itu, Kennith Tan berkata, majoriti warga asing yang diperiksa di Negeri Sembilan didapati mematuhi peraturan imigresen yang telah ditetapkan.
“Untuk Negeri Sembilan, kita boleh simpulkan bahawa kebanyakan warga asing adalah mereka yang patuh. Daripada pemeriksaan yang dijalankan, kira-kira 90 peratus mempunyai pas atau permit yang sah untuk berada dan bekerja di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, seramai 2881 orang PATI yang ditempatkan di depot imigresen Lenggeng telah berjaya diusir pulang ke negara asal mereka. – UTUSAN










