Guru mengaku tidak bersalah cabul penumpang ketika buat e-hailing

Guru mengaku tidak bersalah cabul penumpang ketika buat e-hailing

SEORANG pemandu e-hailing, Alvin Choo Chee Hong (kanan) diiringi peguam ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini untuk pendakwaan kesalahan mencabul seorang penumpang wanita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan cuba mencabul kehormatan seorang wanita warga asing ketika menyediakan perkhidmatan e-hailing di sini, 1 Februari lalu.

Tertuduh, Alvin Choo Chee Hong, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chee Hong didakwa telah menggunakan kekerasan terhadap seorang wanita warga asing dengan niat hendak mencabul kehormatannya dengan cara memegang payudara, betis dan paha.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika dia menyediakan perkhidmatan e-hailing terhadap mangsa dari Jalan Harimau Tarum, Taman Century ke R&F Princess Cove, di sini antara 5.30 petang hingga 6 petang, 1 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari meminta jaminan sebanyak RM10,000, bagaimanapun peguam tertuduh, Mark Jeyakumar memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Katanya, tertuduh bekerja sebagai seorang guru dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, selain turut menjaga seorang ibu yang tidak lagi bekerja dan dua adik yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Tertuduh tiada sebab untuk melarikan diri kerana mempunyai alamat tetap di Johor, ini juga merupakan kali pertama tertuduh dibawa ke mahkamah, dia juga sudah tidak memandu e-hailing selain tidak mempunyai sebarang maklumat tentang mangsa,” katanya.

Shaarmini kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 serta tarikh 13 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Awal bulan ini tular satu rakaman video memaparkan seorang pemandu e-hailing cuba meraba seorang penumpang wanita yang dipercayai merupakan wanita Vietnam dalam sebuah kenderaan.

Susulan kejadian itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terlibat. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×