PETALING JAYA: Individu yang berhasrat merebut jawatan No.1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Pemilihan tahun ini perlu memastikan mereka memiliki sokongan ‘kukuh’ daripada ahli gabungan.
Menurut sumber industri, syarat minimum pencalonan telah ditetapkan dalam statut badan induk bola sepak negara itu dan setiap calon perlu mematuhinya sebelum layak bertanding.
Menurutnya, calon Presiden FAM wajib memperoleh sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada ahli gabungan, manakala Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan.
“Sesiapa yang berminat untuk bertanding, jawatan presiden kena ada enam pencalonan daripada ahli gabungan. Sementara itu, timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan.
“Bagi jawatan naib presiden pula empat pencalonan dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan. Tiada had untuk sesiapa yang mahu bertanding nanti,” katanya mengulas berkaitan proses awal menjelang Kongres Pemilihan FAM yang dijangka berlangsung Jun nanti.
Dalam perkembangan sama, sumber itu turut memaklumkan pihak sekretariat FAM juga akan mengedarkan notis rasmi kongres serta borang pencalonan kepada semua ahli gabungan dan persatuan bola sepak negeri.
Jelasnya, mereka perlu mencalonkan nama yang bertanding 45 hari sebelum tarikh kongres berlangsung.
Jawatan Presiden FAM dijangka menjadi tumpuan hangat kali ini susulan tindakan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 yang meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta pada 28 Januari lalu.
Situasi itu membuka laluan kepada pemilihan baharu yang pastinya bakal mencorakkan hala tuju bola sepak negara untuk tempoh empat tahun akan datang. – UTUSAN










