PETALING JAYA: Jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza kini berada pada tahap kritikal dan jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan mendesak penduduk.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kekurangan bekalan menyebabkan 75 peratus penduduk kini kebuluran meskipun mereka memerlukan stok bekalan untuk menampung jutaan penduduk.
Katanya, keadaan kemanusiaan di Gaza masih sangat kritikal apabila serangan udara dan tembakan terus berlaku hingga mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak.
“Sistem kesihatan di Gaza sangat terjejas apabila tiada hospital yang berfungsi sepenuhnya dan hampir separuh hanya beroperasi secara terhad, selain misi kemanusiaan sering dihalang daripada membawa masuk peralatan penting seperti ventilator dan inkubator.
“Keperluan paling mendesak ketika ini merangkumi bekalan makanan dan nutrisi yang konsisten, rawatan perubatan termasuk kes trauma, ibu dan bayi, akses pemindahan pesakit kritikal ke luar Gaza, bekalan air bersih serta perlindungan terutama ketika musim sejuk yang meningkatkan risiko penyakit dan kematian akibat cuaca.
“Masyarakat antarabangsa dan kerajaan luar perlu meningkatkan tekanan diplomatik bagi memastikan akses bantuan yang selamat dan konsisten selain menyalurkan sokongan kewangan, teknikal dan solidariti berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mengecam keras kelulusan Kabinet Israel terhadap beberapa langkah jenayah di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, pihaknya menolak sebarang keputusan Israel yang didakwa bertujuan mewujudkan situasi berat sebelah melalui perluasan penempatan haram.
“Israel tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas mana-mana bahagian negara Palestin dan sebagai kuasa penjajah, ia tidak berhak membatalkan atau meminda undang-undang sedia ada termasuk perundangan Jordan yang masih berkuat kuasa.
“Keputusan berkenaan merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa dan masyarakat antarabangsa digesa menolak serta mengutuk langkah tersebut,” katanya. –utusan











