Penjawat awam boleh miliki saham lebih RM100,000

Penjawat awam boleh miliki saham lebih RM100,000

BORHAN DOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua penjawat awam termasuk ketua-ketua agensi boleh memiliki saham melebihi RM100,000 dalam syarikat dengan syarat dapat kelulusan Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA).

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah berkata, jumlah had pengecualian boleh diberi bergantung kepada syarat tertentu dengan mendapat kebenaran di bawah Pekeli­ling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024.

Katanya, adalah menjadi tang­gungjawab Ketua Penga­rah Perkhidmatan Awam (KPPA) memaklumkan ke­pa­da Perdana Menteri se­barang kelulusan pengisytiharan pemilikan saham melebihi had bagi jawatan melibatkan lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Agensi yang menguruskan hal ehwal penjawat awam ialah KPPA. Segala urusan berkaitan perkhidmatan awam diuruskan di bawah tanggungjawab tersebut.

“Sebarang pengisytiharan har­­ta sudah tentu menjadi tanggungjawab KPPA untuk diangkat dan dimaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Katanya, perkara itu ti­dak disembunyikan dan sudah di­isytiharkan termasuk sumber pendapatan mela­lui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) JPA.

Azam berkata demikian mengulas laporan Bloomberg yang beliau memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, Borhan berkata, pegawai kanan atau jawatan tertentu yang memiliki saham lebih RM100,000 akan dipantau JPA untuk pandangan serta kelulusan lanjut.

“Jika tiada pertikaian atau rujukan dibuat kepada JPA, maka perkara itu boleh dianggap diterima dan ia telah direkodkan.

“Sebab dalam pengisytiharan harta, segalanya akan ditanya termasuk sumber pendapatan lebih-lebih lagi kelayakan pemilikan saham RM100,000 tapi jumlahnya lebih daripada itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN