Kastam rampas arak, mercun, bunga api bernilai RM1.64 juta

Kastam rampas arak, mercun, bunga api bernilai RM1.64 juta

ROSLAN Yusoff (tengah) bersama sebahagian mercun dan bunga api yang dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka. – UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Taktik sebuah syarikat menyembunyikan lebih empat tan mercun dan bunga api yang tidak diluluskan dengan menindihnya dengan barangan dibenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbongkar dalam serbuan di sebuah gudang di Nilai, Negeri Sembilan.

Pemeriksaan mengejut oleh Bahagian Penguatkuasaan Ja­ba­tan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka itu berjaya menyi­ta kesemua 4,742 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis.

Pengarah Kastam Melaka, Ros­lan Yusoff berkata, rampasan itu adalah sebahagian daripada tiga kes termasuk dua kes minuman keras yang berjaya ditumpaskan sepanjang Januari lalu membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM1.64 juta, termasuk duti dan cukai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kes mercun dan bunga api, sepasukan anggota telah menyerbu sebuah gudang milik sebuah syarikat pada 19 Januari lalu kira-kira pukul 1 petang.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati sejumlah 4,742 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis disimpan di dalam gudang tersebut, dengan sebahagiannya tidak mengikut spesifikasi serta kelulusan yang ditetapkan oleh KDN,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Roslan berkata, semua barangan tersebut yang bernilai RM156,486, termasuk duti dan cukai telah ditindih menggunakan barangan yang mempunyai kelulusan KDN bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Ujarnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang berada di lokasi telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, JKDM Melaka berjaya mengesan dan menyita sejumlah minuman keras pelbagai jenama bernilai RM599,511.90 termasuk duti di sebuah kediaman di Muar, Johor pada 14 Ja­nuari lalu.

“Hasil pemerhatian selama lima jam mendapati tiada pergerakan barang kes di premis terbabit dan pasukan bertindak menyerbu kediaman sebelum menjumpai sejumlah minuman keras bercetak

‘Malaysia Duty Not Paid’ (MDNP), minuman keras pengilangan tempatan dan yang diimport.

“Kes ketiga adalah sitaan di sebuah gudang di Puchong, Selangor pada 16 Januari lalu membabitkan minuman keras bernilai RM882,369 dan seorang lelaki berusia 40-an turut ditahan,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua kes ter­se­but disiasat mengikut Sek­syen 74(1)(c) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bagi minuman keras yang diimport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×