90 peratus rakyat guna RON95 bawah 300 liter

90 peratus rakyat guna RON95 bawah 300 liter

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah subsidi petrol RON95 Budi Madani (BUDI95) sebanyak 300 liter sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan majoriti rakyat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana purata penggunaan BUDI95 dalam kalangan pengguna ialah sekitar 100 liter se­bulan sejak ia dilaksanakan pada September tahun lalu.

“BUDI95 merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari atau sehingga 96 juta transaksi sebulan. Malah had 300 liter sebulan RON95 mencukupi untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan.

“90 peratus rakyat guna tidak lebih daripada 300 liter sebulan. Jadi kadang-kadang dalam perbahasan (dahulu) mengatakan tak cukup, sebenarnya terbukti daripada segi pelaksanaan kita tidak begitu,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin mengetahui jumlah penjimatan yang berjaya dicapai kerajaan melalui pelaksanaan program subsidi bersasar bahan api itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 dijangka menjana penjimatan sehingga RM2.5 bilion pada tahun ini.

Katanya, hasil penjimatan fiskal tersebut diagihkan semula kepada rakyat termasuk bagi membiayai penambahan bantuan khususnya Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

“Bermula 9 Februari lalu, seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad di bawah inisiatif Sara Untuk Semua,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan Sara Untuk Semua telah menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan sebagai Rakan Niaga Sara dan pembekal barangan asas termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Katanya, hampir RM200 juta dibelanjakan oleh dua juta rakyat Malaysia dalam tempoh dua hari pelaksanaannya sejak Isnin lalu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menerima saranan Bank Dunia untuk mengapungkan harga dan menyalurkan bantuan tunai hanya kepada golongan miskin kerana pendekatan tersebut tidak mengambil kira cabaran kos sara hidup golongan pertengahan.

“Penyasaran subsidi perlu dilaksanakan memandangkan Kerajaan Madani mewarisi tahap hutang dan defisit yang tidak dibiayai secara mampan selain subsidi pukal yang terus meningkat dan bocor kepada golongan tidak layak,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini termasuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan hasil negara.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan setakat ini menyaksikan nilai rampasan berkaitan kegiatan tersebut mencecah berbilion ringgit.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran dalam usaha membendung kegiatan berkenaan di negara ini.

“Kegiatan judi dalam talian tidak mudah dibanteras kerana sebahagiannya berpangkalan di luar negara selain penggunaan mekanisme elektronik yang sangat canggih. Ini membolehkan operasi dibuka dan ditutup dalam tempoh singkat.

“Selain langkah penguatkuasaan bagi menangani aktiviti perjudian haram, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kebertanggungjawaban dan kesedaran rakyat terhadap perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×