ICW, BuildXpo Malaysia 2026 sasar potensi jualan RM2 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

ICW, BuildXpo Malaysia 2026 sasar potensi jualan RM2 bilion tahun ini

Ahmad Maslan menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pra Pelancaran International Construction Week & BuildXPO 2026, di sini, hari ini. GAMBAR-MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: International Construction Week (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 menyasarkan peningkatan jumlah potensi jualan tahunan kepada RM2 bilion berbanding RM1.41 bilion yang diraih pada tahun lalu.

Sasaran itu didorong oleh peningkatan penyertaan antarabangsa, perluasan pameran teknologi serta pengukuhan platform perkongsian ilmu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, bagi jumlah kehadiran pula dijangka meningkat kepada 20,000 terdiri daripada industri profesional dan pelawat, berbanding 15,987 tahun lepas.

Menurutnya, kepentingan inovasi dan kolaborasi dalam membentuk masa depan industri pembinaan.

“ICW telah menjadi platform tahunan utama bagi industri pembinaan sejak penubuhannya pada 1999.

“Seiring dengan peredaran masa, penganjuran ini telah berkembang menjadi titik pertemuan penting bagi pemain industri di Malaysia dan seluruh rantau untuk mempamerkan inovasi, bertukar pengetahuan serta meneroka peluang baharu dalam industri.

“Acara sebegini menyeru industri mengadaptasi teknologi baharu, melaksanakan penyelesaian infrastruktur lebih pintar serta memperkukuh pertukaran pengetahuan teknikal yang lebih mendalam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada pemberita semasa Majlis Pra Pelancaran International Construction Week (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026, di sini semalam.

Acara ICW 2026 akan berlangsung dari 10 November hingga 12 November 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, manakala ICW Borneo 2026 akan dianjurkan lebih awal pada 12 Mei hingga 13 Mei 2026 di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia sekali gus memperkukuhkan usaha mengeratkan jaringan dan keterhubungan industri antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut menekankan kepentingan strategik ICW Borneo 2026 yang menjadikannya edisi kedua ICW Borneo.

“Acara ini bukan sekadar edisi serantau, tetapi satu kenyataan nasional mengenai inklusi, peluang, dan kemajuan bersama.

“ICW Borneo berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh penglibatan serantau, meningkatkan kemampuan industri di luar Semenanjung Malaysia, dan menggalakkan kolaborasi di peringkat serantau.

“ICW dan BuildXpo terus berpengaruh sebagai pemangkin hubungan, kepercayaan dan jaringan di Asia sebagai tempat idea bergerak, teknologi diaplikasikan dan kemampuan serantau membentuk masa depan.

“Platform seperti ICW dan BuildXpo juga bukan sekadar membina jaringan atau mengadakan pertemuan, namun ia memperkukuh kemampuan serantau supaya Asia bukan sahaja berkembang lebih besar, tetapi lebih baik, lebih bersih, dan lebih bersedia untuk masa depan,” jelasnya.

Kedua acara itu dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×