BIna rumah ibadat perlu ikut undang-undang

BIna rumah ibadat perlu ikut undang-undang

SULTAN Ibrahim menerima menghadap Aaron Ago Dagang di Istana Negara, semalam.-FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak wajib mematuhi undang-un­dang ditetapkan termasuk ber­kaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat. 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, seba­rang isu pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan menerusi saluran sah demi mengekalkan keharmonian, tole­ransi dan semangat muhibah rakyat.

Titah Seri Paduka, sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara. 

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenya­taan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan dan menggugat keamanan negara.

“Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi dan pematuhan kepada undang-undang.

“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai tersebut demi kepentingan bersama,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara.

Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman Seri Paduka Baginda pada Januari 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah, agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan dan ibadat masing-masing.

“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami dan menghormati undang-undang di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan.

Baginda bersetuju dengan pendirian dan ketegasan Kerajaan Persekutuan yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut undang-undang.

Titah Sultan Sharafuddin, pendirian tegas itu selari dengan prinsip yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara pada Isnin lalu berkata, kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan bagi memastikan keamanan negara pada masa hadapan.

Anwar juga menggesa semua kerajaan negeri mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh dianggap terkecuali atau tidak tertakluk kepada undang-undang negara dalam isu berkaitan pembinaan rumah ibadah.

Isu berkaitan rumah ibadat didakwa dibina tanpa kelulusan tercetus ekoran perhimpunan protes oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa di Kuala Lumpur, pada 7 Februari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×