TERAJU perkenal empat program, pacu penskalaan syarikat bumiputera

TERAJU perkenal empat program, pacu penskalaan syarikat bumiputera

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperkenalkan empat program baharu bagi memacu penciptaan nilai dan mempercepat penskalaan syarikat bumiputera berpotensi, selaras dengan hala tuju PuTERA35 dan agenda Ekonomi Madani.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, empat program baharu, Ascend, Enhance, XCelerate dan Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) akan berfungsi sebagai pemudahcaraan berstruktur bersama rakan strategik bagi memperkukuh keupayaan perniagaan dan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur.

Jelasnya, menerusi program tersebut,  syarikat akan lebih bersedia dan layak untuk mengakses pembiayaan daripada institusi kewangan serta dana pembangunan.

“TERAJU bukan sahaja melaksanakan program penskalaan syarikat, malah memperkenalkan program yang memfokuskan peningkatan dan penskalaan nilai secara lebih menyeluruh. 

 “Bagi syarikat yang mencapai tahap kesiapsiagaan tertentu, sokongan akan diteruskan ke fasa seterusnya sebagai persediaan ke arah penyenaraian awam.

“Bagi syarikat dalam kategori upper small dan low-mid market yang sering berdepan kekangan akses pembiayaan, TERAJU turut menyediakan satu lagi program pemudahcaraan strategik untuk memperkukuh kredibiliti perniagaan,” katanya.

Junady berucap di Majlis TERAJU Aspirasi Outreach 2026: Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nila Syarika Bumiputera di sini.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan dihadiri lebih 500 pemain industri merangkumi syarikat penerima, institusi kewangan serta rakan strategik ekosistem.

Dalam pada itu, jelas Junady, sehingga kini 840 syarikat bumiputera menerima manfaat pembiayaan langsung, manakala 418 syarikat lagi telah menerima pemudahcaraan, dengan jumlah sokongan melebihi sasaran sebanyak RM1 bilion setahun.

“Menerusi Dana Pengembangan dan Katalis Bumiputera (BECF) yang diperkenalkan pada akhir 2024, sebanyak RM1.07 bilion telah disalurkan kepada 564 syarikat. 

“Manakala melalui Pembiayaan Projek dan Modal Kerja Islamik (i-WCPF), sebanyak RM158.27 juta modal kerja telah dimanfaatkan oleh 276 syarikat. 

“Di samping itu, 418 syarikat telah menerima manfaat melalui penyertaan dalam program pemudahcaraan TERAJU. Jumlah ini telah melebihi dari sasaran yang kita tetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, Jumady berkata, TERAJU Aspirasi Outreach 2026 menampilkan sesi jaringan strategik bersama rakan ekosistem merangkumi pembiayaan, infrastruktur, kawal selia, bakat dan kemahiran, teknologi serta pemasaran bagi mengukuhkan kerjasama rentas sektor dan mempercepat akses pasaran.

“Berlandaskan visi TERAJU sebagai peneraju pembangunan ekonomi Bumiputera, platform outreach itu bukan sekadar membantu syarikat ‘membesar’, sebaliknya memastikan pertumbuhan diterjemahkan kepada penciptaan nilai yang nyata dan mampan.

“Nilai yang kita maksudkan merangkumi syarikat yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing, mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan produktiviti serta membuka ruang menembusi pasaran eksport,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×